Pages

Monday, June 21, 2010

Kosmetik : Tempe Untuk Kecantikan

Produk tradisional cerahkan kulit secara semula jadi, perlahankan penuaan






KOSMETIK adalah keutamaan wanita dalam apa jua keadaan kerana ia adalah bahan bantu yang dikatakan berupaya menghaluskan kulit wajah, membekalkan kelembapan dan mengurangkan kedutan selain menyumbang kepada keremajaan kulit walaupun usia sudah meningkat. 







Bahkan, kosmetik juga menutup kesan jerawat mahupun cela lain yang ada pada wajah selain olesan kosmetik pada wajah, bagi sesetengah individu, berupaya menambahkan tahap keyakinan diri ketika berurusan dengan masyarakat mahupun melakukan urusan lain.


Sehubungan itu, kosmetik adalah rakan akrab yang akan sentiasa dicari wanita kerana ia membantu menyempurnakan tatarias selain kandungan kosmetik tidak terlepas daripada pemerhatian kerana bahan yang digunakan mungkin membawa kebaikan atau sebaliknya pada wajah.


Gaya terkini memperlihatkan sikap berhati-hati wanita juga mempengaruhi diri untuk menggunakan bahan yang diyakini, tidak mendatangkan mudarat dan bersifat semula jadi kerana bahan semula jadi membawa banyak kebaikan kepada kulit, namun bagaimana jika anda disarankan menggunakan produk yang diperbuat daripada tempe? 






Sanggupkah anda menggunakan produk sebegitu yang memanfaatkan khasiat tempe yang sememangnya diketahui memberikan pelbagai kebaikan jika diambil sebagai makanan? 

Kini, tempe bukan hanya digunakan sebagai makanan, bahkan kajian oleh Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM) berjaya menghasilkan produk penjagaan kecantikan kulit yang memanfaatkan keunikan bahan berkenaan. 

Malah, SIRIM turut berjaya menghasilkan produk penjagaan kecantikan berasakan budu yang mungkin menyebabkan ramai berfikir dua kali untuk menggunakannya terutama apabila memikirkan bau yang sering dikaitkan dengan hidangan kegemaran masyarakat Kelantan itu. 
Jika beberapa jenama terkenal antarabangsa gah dengan pelbagai kajian yang dijalankan bagi menghasilkan produk penjagaan kecantikan, Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Bezanya, Malaysia menerusi SIRIM menjalankan pelbagai kajian terhadap keberkesanan beberapa bahan sebelum menjadi pilihan pengusaha atau syarikat tertentu yang tertarik dengan produk dihasilkan. 

Penasihat Kanan, Program Produk Semula Jadi dan Biokosmetik Pusat Penyelidik Bioteknologi Industri SIRIM, Rozanida Tan Sri Abdul Rahman, berkata kesedaran pengguna yang tinggi sejak kebelakangan ini memperlihatkan bahan semula jadi mendapat tempat dalam industri pembuatan kosmetik. 

“Kami di Sirim sudah memulakan siri kaji selidik terhadap banyak bahan semula jadi yang berupaya memberi kebaikan kepada kulit manusia sejak 10 tahun lalu. 

“Antara yang diketahui mempunyai bahan yang baik untuk kesejahteraan kulit wajah manusia adalah tempe dan hidupan marin, ikan bilis yang diperap menjadi budu. Bilis yang diperam menjadi budu mempunyai bahan tertentu yang berfungsi baik terhadap kulit wajah,” katanya ketika ditemui di Pusat Penyelidik Bioteknologi Industri Sirim, Shah Alam, baru-baru ini. 

Turut hadir, Penyelidik Kanan Pusat Penyelidik Bioteknologi Industri SIRIM, Noorullhamezon Mohd Nor dan Penyelidik Kanan Pusat Teknologi Bioproses dan Alam Sekitar SIRIM, Hamidah Sidek. 

Noorullhamezon melakukan kajian terhadap tempe dan Hamidah membuat penelitian terhadap budu sehingga terhasilnya kosmetik yang dikatakan bermanfaat untuk merawat kulit wajah dengan cara semula jadi tanpa adanya bahan kimia berbahaya. 

Rozanida yang juga bertanggungjawab merumus formula kedua-dua bahan tradisional berkenaan berkata, SIRIM bertindak melakukan kajian terhadap bahan terpilih itu untuk membantu usahawan bidang kecantikan menggunakan bahan tempatan kerana hasil daripada produk tempatan juga tidak kurang hebat. 


“Selain menyediakan bahan dan perkhidmatan pembungkusan, pengusaha tidak perlu melakukan kajian lain lagi kerana kami sudah melakukan kajian dan menyiapkan rumusannya. 

“Sebelum mengkomersilkan produk ini juga, kami sudah menjalankan ujian terhadap sekumpulan individu yang menjalani ujian penggunaan bahan ini bagi mengesahkan mutu produk dan selamat digunakan. Selepas mendapati hasilnya memuaskan, barulah kami ingin menawarkan kepada usahawan memperkenalkan produk ini kepada pengguna,” katanya. 

Sehubungan itu, Rozanida meminta mana-mana usahawan yang berminat memasarkan produk daripada bahan tradisional itu, mereka bolehlah menghubungi SIRIM untuk urusan selanjutnya. 



Sementara itu, kegemaran masyarakat Asia terhadap kulit wajah yang cerah dan putih memberi ilham kepada Noorulhamezon memilih tempe untuk diekstrak menjadi produk kosmetik. 






“Tempe adalah bahan semula jadi daripada kacang soya yang boleh mencerahkan kulit dengan cara yang selamat. Ia tidak mengandungi bahan peluntur dan produk pemutih yang menghakis kulit. 


“Saya melakukan kajian terhadap sel kolagen yang dirawat dengan tempe yang sudah diekstrak dan hasilnya menjadikan kulit wajah lebih cerah tanpa meninggalkan kesan bahaya. Modul ujian yang dilakukan adalah membandingkan antara sukarela yang menggunakan produk daripada tempe dan sebaliknya,” katanya. 

Produk berasaskan tempe itu bukan bertindak memutihkan kulit secara total, tetapi dalam istilah penggunaan kosmetik, produk berkenaan mencerahkan kulit di samping tidak mematikan sel kulit. 

Katanya, terdapat empat produk yang sudah dihasilkan daripada tempe iaitu facial cream cleanser, purifying tuning mist, moisturising day cream dan reforming night cream. 


Tuesday, June 15, 2010

Felda Sasar Lahirkan 2,000 Usahawan Peneroka

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 2,000 usahawan baru di kalangan warga peneroka menerusi Simposium dan Ekspo Usahawan Felda (Simex 2010) berlangsung sejak 28 Februari lalu.

Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Abidin Abd Rahman, berkata program kali ketiga dianjurkan itu bertujuan mewujudkan rangkaian kerjasama perniagaan, mempromosi produk serta perkhidmatan antara usahawan.


Katanya, Simex 2010 yang bertemakan tema ‘Inovasi Menjana Ekonomi’ diadakan semua 11 wilayah Felda termasuk di Sabah sehingga 30 April ini, berbanding sebelum ini yang dilaksanakan pada peringkat pusat. 

Beliau berkata, penganjuran program itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan masyarakat peneroka yang bersama-sama memaju dan membangunkan aktiviti ekonomi rancangan. 

“Dalam terus mengukuhkan peranan Felda membangunkan usahawan berpotensi dan berdaya maju, Jabatan Pembangunan Usahawan Felda turut diwujudkan sejak 2005 supaya lebih fokus terhadap golongan ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Usahawan Felda, Norhayati Sarif. 
Abidin menambah, Simex 2010 diadakan dengan matlamat menyampaikan maklumat terkini berhubung pembangunan keusahawanan Felda menerusi program se-minar dan pembentangan kerja serta ekspo dan pameran.

Katanya, antara produk industri kecil dan sederhana yang dipamerkan ialah makanan diproses, kraf, makanan segar, perkhidmatan dan perniagaan seperti pakaian dan ubat-ubatan. 

Beliau berkata, menerusi Simex 2010 dan pelbagai strategi pemasaran agresif tahun ini, Felda menyasarkan untuk meningkatkan lebih 36,000 usahawan bukan dalam aktiviti perladangan di bawah bimbingan Felda ketika ini. 

“Purata pendapatan usahawan Felda yang dicatatkan sehingga Februari lalu ialah RM2,046 sebulan. Tahun lalu saja, keseluruhan pendapatan yang dicatatkan ialah kira-kira RM911 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Abidin berkata, Felda melabur lebih RM200 juta bagi membangunkan Kompleks IKS di Felda Chini, Pahang yang dijangka beroperasi awal tahun depan yang membabitkan pemindahan teknologi tinggi, khususnya dalam pemprosesan makanan ringan dan tenunan.

Katanya, Felda turut menyasarkan untuk meningkatkan bilangan usahawan yang dianugerahkan jenama F-Best Foods oleh agensi itu, yang membekalkan produk makanan menerusi cawangan Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) milik Felda dan pasar raya besar.

“Ketika ini, kami mempunyai kira-kira 30 usahawan yang menjual produk makanan menerusi jenama F-Best Foods kerana mempunyai pengeluaran secara konsisten, pembungkusan menarik dan berpotensi untuk jualan,” katanya. 

Beliau berkata, Sawari dilancarkan pada 2003 dengan memberi tumpuan terhadap dua industri utama iaitu industri makanan dan kraf. 

Tumpuan utama pembangunan industri makanan ialah produk makanan diproses di bawah jenama F Best Food, manakala industri kraf di bawah jenama F Best Craft termasuk tekstil dan sebahagiannya dibangunkan di bawah jenama Modern Malaysia.


Monday, May 24, 2010

Yong Tau Foo HALAL Ada Di Pasaran


KUALA LUMPUR - Menyedari makanan tradisi kaum Cina yong tau foo kurang dihasilkan oleh syarikat bumiputera, seorang pegawai kanan kewangan di sebuah entiti korporat terkemuka meninggalkan kerjaya lumayan itu.

Meskipun tidak memiliki sebarang pengetahuan dalam bidang penghasilan makanan itu, Syed Abdullah Syed Hassani bersama dua rakan yang lain terpaksa melupakan kekangan itu.

Mereka menyifatkan, ia satu bidang perniagaan berpotensi kerana yong tau foo merupakan salah satu menu istimewa yang diminati kaum Melayu.

Sehubungan itu, Hikmah Food Specialities Sdn. Bhd. (Hikmah Food), ditubuhkan dan ia terlibat dalam aktiviti pembuatan pelbagai bebola dan kek ikan serta bahan lain yang berkaitan dengan menu makanan popular itu.

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my

Keterangan syarikat :


Alamat : Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) di Kampung Batu Muda, Batu Caves



Managing Director :
En.Syed Abdullah Syed Hassani - 019 328 2235

General Manager :
Wan Rohani - 019 360 4943

Sales & marketing :
Ijja - 017 204 3577

E-mail : hikmah.food@yahoo.com
Fax : 03- 6184 2512

Stok Tapai Ubi Kian Pulih


Sejak beberapa minggu yang lalu, kilang Sofaz Freshmart (SF) mengalami dugaan dengan pemberhentian sementara produksi TAPAI UBI berikutan putusnya bekalan dari pembekal sedia ada.

Dengan bantuan dari Jabatan Pertanian Daerah Sepang, akhirnya ada juga pembekal yang sanggup menghantar stok ubi ke Puchong. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Banyak juga panggilan yang diterima daripada ejen dan peruncit yang mengeluh kerana tidak mendapat bekalan yang cukup terutama di musim panas dan hampirnya musim cuti sekolah. Ramai juga pelanggan tetap kami yang menghantar SMS bertanyakan samada kami masih beroperasi atau tidak...... soalan yang memang sukar dijawab.

Bebarapa perbincangan dengan peladang mendapati, stok ubi kayu hanya boleh dituai selewat-lewatnya pada bulan Ramadhan nanti. Ini berikutan permintaan yang tinggi dari pembuat kerepek dan kuih berasaskan ubi kayu pada bulan puasa dan Syawal nanti.

Bagi mengelakkan krisis bekalan ini tidak berlanjutan, SF sedang mengkaji beberapa pelan jangka panjang, antaranya ialah mencari tanah yang sesuai untuk penanaman ubi atau membuat 'contract farming' dengan peladang sediada.

SF berharap krisis ini tidak berpanjangan seperti kes kekurangan gula dipasaran sekarang ini. SF juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk menambahbaik hasilan produk agar ianya setanding dengan produk lain di pasaran. 

Doakan kami berjaya dan sokongan anda semua amat kami hargai.

Wednesday, May 19, 2010

Kedai Konsep Halal di Arab Saudi



GEORGE TOWN - Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani (Komita) akan memasarkan produk halal tempatan negara ke pasaran antarabangsa hasil kerjasama strategiknya dengan rakan niaga AAALink Group Sdn. Bhd. (AAALink).
Projek pengembangan ini direalisasikan melalui penubuhan kedai konsep My Malaysia Trading House di Arab Saudi yang akan menawarkan produk tempatan dengan lebih terancang dan tersusun di bawah satu bumbung.
Pengerusi Eksekutif Komita, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, antara produk yang akan dijual di kedai konsep itu ialah bekalan bahan mentah seperti daging segar, produk tenusu, produk dingin beku, makanan tradisional yang dikomersialkan seperti kerepek ubi dan kerepek pisang.
"Ini merupakan kedai konsep halal Malaysia pertama seumpamanya dibangunkan di negara tersebut, ia akan menawarkan pelbagai produk di bawah satu bumbung," katanya kepada kepada Kosmo! selepas majlis menandatangani perjanjian di antara Komita dengan AAALink.