Pages

Tuesday, April 14, 2015

Artikel : Buat Tempe Sebagai Pendapatan Sampingan


MINAT mempelajari pembuatan tempe yang terkenal dalam kalangan masyarakat Jawa timbul selepas melihat arwah neneknya mengusahakannya.


Pembuat tempe di Kampung Tengah, Renggam, Mohamad Normazli Masnin, 31, berkata, bagaimanapun dia mempelajari membuat tempe dari Institut Kemahiran Belia Negara di Simpang Renggam.

“Cara membuat tempe tidak begitu susah dan mudah dipelajari. Mulanya kita perlu merendam kacang terlebih dahulu dalam masa dua hari dan selepas itu buang airnya sebelum mengaulkan kacang itu dengan ragi tempe.

“Ragi itu perlu yang khusus untuk membuat tempe agar hasilnya cantik. Jika mahu tempe lebih putih, campurkan dengan tepung beras atau tepung sagu.

“Selepas semuanya digaulkan kita boleh terus bungkus tempe berkenaan,” katanya.

Mohamad Normazli yang menjalankan perusahaan tempe secara sambilan berkata, untuk membungkus tempe dia menggunakan daun pisang dan daun rambai kerana mudah diperoleh.

“Apabila tempe siap dibungkus, perlu tunggu lebih kurang empat hingga lima hari, jika musim panas dalam masa dua hari tempe sudah boleh dimasak," katanya.

Katanya, pembuatan tempe yang mudah dan cepat sesuai dijadikan punca pendapatan sampingan.

“Saya membuat tempe lebih kurang empat tahun dan dalam seminggu saya buat empat hingga lima kali bergantung permintaan.

“Selalunya setiap kali saya buat lebih kurang 10 kilogram dan apabila siap dibungkus saya hantar di pasaraya dan kedai runcit di Pekan Renggam,” katanya.

Dia berharap, lebih ramai golongan muda mempelajari pembuatan tempe agar ia tidak dilupakan.

Sumber : Sinar Harian

NOTA : Penulis bukan orang yang dimaksudkan di dalam posting ini. sila jangan hubungi kami.