Pages

Tuesday, January 25, 2011

Resepi : Ubi Kayu Sirap Gula Melaka


Salam semua,

Bila dah lama bergelumang dengan ubi kayu ni, kadang-kadang terpacul idea untuk buat resepi sampingan hasil dari ubi. Semalam, teringin nak buat ubi kayu sira. Cari punya cari terjumpa beberapa resipi ubi kayu dan resepi ini yang paling best sebab lama dah tak merasa masakan ini.

Kami kongsikan bersama kalau-kalau anda juga mahu mancuba.

Bahan-bahan:
300gm ubi kayu | dibuang kulit dan direbus hingga lembut
200gm gula Melaka
100gm gula kasar
1 helai daun pandan | disimpul
Garam secukup rasa

Cara memasak:
1. Didihkan gula Melaka, gula kasar, daun pandan dan garam. Tapiskan dan ketepikan.


2. Kemudian ubi kayu yang telah direbus tadi hendaklah dipotong kecil.


3. Akhir sekali, masukkan ubi rebus ke dalam bekas tahan panas dan tuangkan gula Melaka. 



Dinginkan sebelum dihidang. Sedia untuk dinikmati.


p/s : sedap juga kalau dimakan bersama aiskrim.


Kredit : rasa.com.my

Tuesday, January 11, 2011

Serunding Ikan : Produk Makanan Terlaris


PELUANG terhidang disediakan kerajaan berjaya menguatkan lagi semangat dan kesungguhan untuk seseorang itu terbabit dalam bidang perniagaan.
Bermula sebagai penternak ikan secara kecil-kecilan, kini berkat kegigihan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan negeri, Fatimah Abu Bakar, 47, muncul pengeluar pelbagai produk berasaskan ikan air tawar.
Dia yang mengusahakan perniagaan di bengkel terletak di Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang kini turut memiliki 15 kolam simen yang menempatkan lebih 15,000 ikan keli.
Selain itu, wanita ini turut menternak lebih 25,000 ikan patin dan tilapia merah pelbagai saiz dalam 18 sangkar yang ditempatkan dalam Sungai Pahang. "Saya memulakan perusahaan ini sejak 2003, asalnya hanya untuk memenuhi masa terluang tetapi kini ia menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.
"Selain menjual ikan segar, saya turut terbabit mengeluarkan 10 produk berasaskan ikan air tawar seperti serunding ikan keli, keropok, temosa segera, nugget ikan dan popia.
"Setiap minggu saya memerlukan lebih 20 kilogram ikan keli bersaiz besar iaitu antara satu kilogram hingga dua kilogram seekor untuk menghasilkan serunding," katanya.
Menurutnya, sokongan suami, Mohd Yusoff Ismail, 56, yang turut bertanggungjawab memasarkan produk yang dihasilkan melancarkan lagi perniagaannya.
Rutin harian Fatimah kini lebih tertumpu kepada aktiviti memberi makan ikan dalam kolam dan sangkar, selain terbabit dalam menghasilkan pelbagai produk lain.
Untuk menghasilkan serunding ikan keli, ia hanya memerlukan daging ikan saja manakala penggunaan rempah tradisional yang dihasilkannya sendiri lebih menambah keenakan.
Memanfaatkan proses penyediaan serunding menggunakan teknologi moden, mesin mengacau dalam kawah akan berpusing selama tiga hingga empat jam tanpa henti.
"Selain enak dimakan begitu saja atau dijadikan inti temosa dan popia, serunding yang saya hasilkan turut sesuai dijadikan lauk nasi.
"Dengan penyediaan yang terbaik dan menggunakan resipi tradisional, serunding ikan keli saya mampu disimpan sehingga lapan bulan," katanya.
Sehingga kini, serunding ikan keli yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada masyarakat Melayu serta pelancong asing.
Kini produk berkenaan dipasarkan di beberapa pasar raya terkemuka di Pahang selain kedai runcit di samping diedarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Menurutnya, selain membekalkan pelbagai produk berasaskan ikan air tawar, dia turut memasarkan dan menjadi peraih untuk beberapa jenis ikan seperti tilapia, keli dan patin.
Setiap minggu sebanyak satu metrik tan ikan segar dijual ke seluruh negeri membabitkan restoran, pasar dan penjual runcit.
"Penggunaan makanan proses membuatkan ikan saya ternak tidak berbau selain dagingnya yang lebih enak untuk pelbagai jenis masakan.
"Untuk membantu penternak kecil di daerah ini, saya juga membeli ikan mereka sebagai usaha memenuhi permintaan pengguna," katanya yang bercadang untuk menambah jumlah sangkar.
Bagi Mohd Yusoff, ikan keli yang terhad membuatkan mereka tidak mampu memenuhi permintaan terhadap serunding termasuk ikan segar.
"Kami terpaksa menolak permintaan beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara yang inginkan serunding dengan jumlah banyak selain dibekalkan secara berterusan.
"Bagi mengelak masalah berlaku, saya terpaksa membatalkan niat untuk memasarkan serunding ikan keli ke pasaran yang lebih luas," katanya yang mempunyai lima pekerja.
Menurutnya, untuk menghasilkan serunding yang berkualiti daripada segi rasa dan ketahanan menyimpan, tumpuan diberikan terhadap kebersihan dan kesegaran ikan.
Katanya, peralatan moden sumbangan Jabatan Perikanan negeri bernilai RM40,000 turut berupaya meningkatkan lagi pengeluaran dan kualiti produk.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan negeri yang banyak membantu menyediakan kelengkapan seperti mesin, peti sejuk dan ketuhar yang berjaya melancarkan pengeluaran.
"Sokongan Fama yang membantu daripada segi pemasaran turut meningkatkan lagi semangat saya dan isteri dalam perniagaan ini," katanya.