Pages

Tuesday, March 24, 2009

Tapai Jadi Sumber Rezeki


ALOR STAR 13 Okt. - Tapai merupakan sejenis makanan tradisional popular di kalangan penduduk Malaysia sehinggakan makanan itu boleh didapati di hotel-hotel bertaraf lima bintang di negara ini.

Tidak semua orang dapat menghasilkan tapai yang manis kerana pembuatannya yang rumit dan penuh dengan 'pantang larang' perlu diikuti bagi menghasilkan tapai enak dan tidak masam.

Bagi seorang pengusaha tapai, Siti Fatimah Ahmad, 33, resipi membuat tapai yang diperoleh daripada ibu mertuanya sejak berumur 17 tahun sentiasa diikuti bagi memastikan tapai yang dihasilkan memenuhi kehendak pelanggan.

"Saya berkahwin pada umur 17 tahun dan hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai tukang rumah.

"Ibu mertua saya memang mahir membuat tapai dan saya terus belajar membuat tapai sehingga berjaya menghasilkan tapai yang manis," ujarnya ketika di temui di sini baru-baru ini.

Menurut Siti Fatimah, pada mulanya dia hanya menghasilkan 40 keping tapai dan dihantar ke kedai-kedai yang berhampiran rumahnya.

"Saya sungguh gembira apabila tapai yang dihantar habis di jual dan terus menambah bilangan tapai yang dibuat setiap hari.

"Kini jumlah tapai yang dijual setiap hari menjangkau sehingga 2 ribu bungkus dan selalunya habis dijual dalam tempoh yang singkat dan saya boleh mendapat keuntungan melebihi RM1,000," katanya.

Siti Fatimah memberitahu, antara bahan-bahan asas yang diperlukan untuk membuat tapai ialah pulut susu, sedikit gula, ragi dan daun pisang untuk membungkus pulut dan ragi berkenaan.

"Ketiga-tiga bahan ini (pulut susu, gula dan ragi) hendaklah dicampurkan sehingga sebati dan kemudiannya dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun pisang.

"Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam tempayan yang besar dan ditutup dengan kain dan setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai akan masak dan barulah boleh dimakan," jelasnya.

Ujarnya, tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai itu boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.

Kata Siti Fatimah, banyak 'pantang larang' yang perlu diikuti apabila hendak membuat tapai yang sedap dan manis.

Sebagai contoh, katanya, apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau dekat dengan benda-benda yang berwarna merah.

Jika pantang larang itu dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.

Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama. Tempoh masanya adalah lebih kurang dalam dua hari sahaja.

Kerana rasanya yang manis, biasanya ia sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.
_

Marzuki Pelopor Tapai Segar Dalam Bungkusan Plastik

ARKIB : 05/11/2008


KULIM 4 Nov. - Ketika rakan-rakan lain memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga selepas bersara, Marzuki Abdul Rahman pula lebih senang menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada untuk menceburi bidang keusahawanan.

Bekas pesara kerajaan yang berusia 59 tahun itu memilih untuk mengusahakan bengkel menghasilkan makanan pencuci mulut iaitu tapai segar di rumahnya di Kampung Terat Batu, Padang Serai dekat sini.

Menurut Marzuki, ilham untuk menghasilkan tapai segar timbul setelah didorong oleh ibu bapanya yang sebelum ini menjual kuih itu secara kecil-kecilan.

"Keluarga saya ada pengalaman lebih 50 tahun dalam menghasilkan kuih-muih tradisional termasuk tapai," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Marzuki memberitahu, dengan bermodalkan wang hasil persaraannya, dia membeli beberapa peralatan asas untuk membuat kuih-muih.

"Saya cuba bermacam-macam kuih tetapi akhirnya mendapati tapai lebih mudah kerana ia merupakan kuih yang paling sesuai memandangkan belum dipasarkan secara meluas," katanya.
Katanya, tanpa rasa jemu, dia mencuba pelbagai kaedah termasuk mengubahsuai cara pembungkusan produk.

"Saya ambil masa hampir tiga tahun untuk mencipta bungkusan tapai. Macam-macam cara digunakan termasuk dari daun pisang dan plastik," katanya.

Bagaimanapun, Marzuki berkata, pembungkusan produk dengan plastik lebih sesuai kerana tahan lama, bersih dan kelihatan lebih kemas.

"Sejak menggunakan bungkusan plastik, produk saya mula mendapat perhatian umum.
"Daripada 1,000 bungkusan sebulan, kini ia telah meningkat kepada 8,000 hingga 10,000 bungkus sebulan," katanya.

Tambahnya setiap bungkusan tapai seberat 60 gram dijual pada harga 60 sen.
"Salah satu keistimewaan tapai yang dihasilkan ialah boleh disimpan dalam peti sejuk dalam tempoh panjang iaitu antara dua minggu hingga sebulan tanpa rosak," jelasnya.

Ketika ditanya tentang pantang larang yang perlu dipatuhi ketika menghasil tapai, dia menjelaskan, tiada sebarang larangan seperti yang didakwa oleh kebanyakan pembuat tapai tradisional.

"Semua dibuat secara sistematik dan peralatan moden. Oleh itu, ia tiada kaitan dengan pantang larang," katanya.
Ujar Marzuki, dia kini mampu berbangga kerana tapai segar yang dihasilkan itu pernah ditempah pelbagai agensi kerajaan termasuk dibawa oleh atlet kontinjen Malaysia ke acara Sukan Komanwel di Kanada beberapa tahun lalu.

"Pelanggan utama saya ialah kalangan pegawai dan anggota polis terutama di Bukit Aman. Sebut saja tapai segar Warisan Jitu, pastinya mereka akan tahu bahawa ia datang dari Kulim," jelasnya.
Tambahnya, berkat dan usaha gigihnya itu, Jabatan Pertanian Daerah Kulim pada tahun lalu meluluskan bantuan sebanyak RM35,000 bagi membolehkan beliau meluaskan lagi bengkel membuat tapai.

Katanya, dia juga bercadang untuk menceburi bidang menghasilkan ragi pada masa akan datang.
"Pada masa ini bekalan ragi untuk dibuat tapai amat terhad dan hanya diperoleh daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)," katanya.

Dia berkata, penghasilan ragi secara besar-besaran boleh membantu melahirkan ramai lagi usahawan tapai pada masa akan datang.
-