Pages

Monday, November 29, 2010

Projek Ubi Kayu Kasava Diperluas


SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, akan memperluaskan tanaman ubi kayu kasava ke seluruh negara bagi membantu penduduk luar bandar meningkatkan pendapatan dan ini selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya aktiviti ekonomi penduduk dipelbagaikan.


Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ketika ini projek perintis tanaman menjadi bahan mentah untuk menghasilkan barangan plastik, gam serta palet makanan ternakan itu dijalankan di Kedah dan Perak.
Beliau berkata, selepas meneliti keberkesanan projek perintis itu membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat, unit khas kementeriannya akan mengkaji untuk memperluaskan tanaman itu ke seluruh negara. 

"Penanaman ubi kayu kasava ini dikenal pasti antara kegiatan ekonomi desa yang mampu membantu menjana ekonomi rakyat kerana hasil tanaman itu boleh dituai dalam jangka masa singkat, berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit. 

"Kos penanaman ubi kayu kasava juga rendah dan ia tidak memerlukan baja yang banyak selain penjagaannya mudah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek naik taraf jalan Kampung Panchor, di Dewan Kampung Bedega, Serian, di sini, semalam. 

Projek jalan bernilai RM22.8 juta yang memberi manfaat kepada penduduk di sembilan kampung itu siap sepenuhnya Ogos lalu. 
Selain projek jalan berkenaan, Mohd Shafie, turut merasmikan projek bekalan elektrik luar bandar (BELB) di Kampung Pridan, Serian bernilai RM5.52 juta serta menyerahkan kunci kepada 30 penerima program bantuan rumah (PBR) di Siburan bernilai RM1.2 juta. 

Mohd Shafie berkata, permintaan terhadap ubi kayu kasava kini amat tinggi dan beliau berharap projek perintis yang dilaksanakan di Kedah dan Perak, akan membuka peluang ekonomi baru kepada masyarakat luar bandar di seluruh negara. 

Sementara itu, mengenai pelaksanaan projek pembangunan luar bandar menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Mohd Shafie, berkata setakat ini semua projek berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2012. 

Beliau berkata, sehingga Oktober lalu, sepanjang 160.2 kilometer daripada 751.93 kilometer jalan luar bandar yang dirancang menerusi projek NKRA sudah disiapkan, manakala bekalan air bersih pula sudah disediakan di 49,252 unit rumah. Kementerian mensasarkan 70,181 unit rumah luar bandar di seluruh negara menikmati bekalan air bersih menjelang 2012. 

Bagi bekalan elektrik luar bandar pula, sehingga kini, sebanyak 5,911 daripada 25,312 unit rumah sudah menerimanya, manakala bagi program bantuan rumah pula, sebanyak 7,195 unit daripada 16,626 unit yang dirancang, berjaya disiapkan. 

Wednesday, November 24, 2010

Sofaz Freshmart akan Berada di MAHA 2010


Syukur Alhamdulillah Ya ALLAH atas perkenan doa kami selama ini untuk menyertai MAHA 2010.... impian sejak bertahun-tahun tercapai jua akhirnya.

Adalah menjadi impian para usahawan asas tani untuk mempamerkan produk masing-masing di ekspo sebesar ini...

Berikutan kejayaan MAHA sebelum ini, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah pameran inovasi pertanian terbesar memaparkan Teknologi terkini dan Inovasi di bidang Agro-Based, Horticulture dan Agrotourism Industry - Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA 2010) 
Ditaja oleh Kementerian Pertanian and Industri Asas Tani dan dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, FAMA. Ia merupakan pameran yang terbesar dan paling komprehensif di rantau ini dan mungkin di Asia.

Dianugerahkan The Malaysia Book of Records sebagai Pameran Terbesar di Malaysia.
Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, (MAEPS), Serdang Selangor Darul Ehsan, Malaysia bermula dari 26 Nov - 5 Dis 2010.
Siri pameran dwi-tahunan MAHA Antarabangsa 2010 merupakan pameran pertanian yang terulung di Malaysia. MAHA Antarabangsa 2010 akan mempamerkan produk pertanian daripada 28 negara. MAHA Antarabangsa 2010 adalah satu landasan memperkenalkan syarikat pengeluaran produk agro dan makanan yang terbaik di Malaysia. Lebih daripada 950 jabatan and agensi pertanian, syarikat-syarikat swasta dan industri kecil sederhana akan mengambil bahagian.



Tema MAHA Antarabangsa 2010 “Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan” memberi tanda permulaan era inovasi pertanian dan industri berasaskan pertanian daripada rantau ini.

** TEMUI SOFAZ FRESHMART DI GERAI # 1250....  
 

Tuesday, November 23, 2010

Chenderong Balai : Pusat Produk Makanan



RUPANYA molek bak sebiji cawan. Warnanya yang putih suci dan bertekstur gebu memikat hati untuk dijamah. Kuih yang diberi nama Putu Perak itu rasanya lemak-lemak manis.
Itulah reaksi deria rasa apabila putu tersebut memasuki rongga mulut. Emosi yang sama dirasai oleh Fauzila Harun, 35, tatkala menikmati kuih tradisional Perak itu pada suatu petang kira-kira lima tahun lalu.
"Putu Perak adalah antara kuih yang ibu dan opah saya gemar sediakan untuk kami sekeluarga semasa saya kecil dulu. Namun, setelah zaman berubah, putu itu jarang dibuat dan semakin sukar ditemui," jelas wanita yang lebih mesra dipanggil Zie itu kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kenangan pada petang itu ternyata telah memberi ilham bisnes kepadanya. Kini, Zie ialah seorang pengusaha kek dan pastri serta beberapa kuih tradisional Melayu seperti baulu, kuih karas, baulu Kemboja dan rempeyek.
Tidak ketinggalan, Zie nekad menjadikan Putu Perak yang sebelum ini sekadar sajian sarapan pagi dan minum petang di kampung halamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak sebagai antara produk utama perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry.
Mengapakah Putu Perak? Selain kurang persaingan, wanita itu yakin Putu Perak mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan. Bagi Zie, pembuatan kuih tradisional itu mempunyai falsafah yang tersendiri.
Baginya, kuih warisan itu adalah satu-satunya kuih yang kuat beridentitikan Perak berdasarkan tiga ramuan asasnya iaitu beras, pulut dan kelapa. Ketiga-tiganya pernah menjadi hasil pertanian utama dan makanan ruji penduduk negeri itu pada zaman dahulu.
"Walaupun ada yang memanggilnya putu cawan dan putu mangkuk, nama Putu Perak lebih tepat dan menyerlah serta mempunyai nilai komersial untuk membawanya di pasaran nasional," ujarnya.
Bermula dengan meletakkan Putu Perak yang dibuatnya di gerai-gerai makan dan kedai runcit di sekitar Chendorang Balai, Sungai Manik dan Labu Kubong pada setiap pagi, kuih warisan itu laris dan permintaannya begitu baik.
Kesungguhan Zie menjual kuih tradisional tersebut mula mendatangkan hasil dan berjaya membuka mata sebuah agensi kerajaan setahun kemudian.
Pada tahun 2006, rumah Zie dikunjungi oleh beberapa pegawai Pejabat Pertanian Sungai Manik yang diketuai Penolong Pegawai agensi itu, Mohamad Din Hussin, untuk melihat sendiri kesungguhan wanita itu menghasilkan Putu Perak.
"Kebetulan pada masa itu, kami bercadang membuka pusat sehenti menghasil dan memasar produk kecil dan sederhana (PKS) yang akan ditempatkan di Pejabat Pertanian Sungai Manik.
"Kami memerlukan seorang usahawan yang berpotensi untuk dibantu," jelas Mohamad Din.
Pusat sehenti itu ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewaan dan pengusaha terpilih sekadar melunaskan bil elektrik dan air bulanan.
Selain itu, bimbingan dan bantuan sokongan daripada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga ditawarkan.
Mohd. Din memberitahu, seramai 32 usahawan produk PKS di sekitar Sungai Manik, Chenderong Balai dan Labu Kubong telah disenarai pendek dan akhirnya Zie menerusi perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry, telah terpilih.
Tertarik dengan kegigihan dan wawasan masa depan perniagaan terutama kesungguhan mengkomersialkan kuih warisan negeri, Putu Perak, adalah antara sebab utama pemilihan Zie.
Peluang yang diberikan Pejabat Pertanian Sungai Manik itu bagaikan batu loncatan kepada Zie. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.
Peralatan memasak Putu Perak juga diperbaiki. Jika sebelum ini Zie dan pekerja mengukus kuih warisan itu di dalam tin yang telah ditebuk lubang kini peralatan khas diperbuat daripada besi digunakan.
Sambutan menggalakkan
Zie juga telah ditawarkan buat kali pertama untuk memperkenalkan Putu Perak buatannya di acara Agrofest peringkat negeri di Ladang Infoternak Sungai Siput bermula 2007.
"Sambutannya amat menggalakkan. Kejayaan di Agrofest Perak 2007 membuatkan saya terus menyertai banyak ekspo dan karnival usahawan anjuran pelbagai agensi kerajaan di sekitar Perak dan negeri-negeri jiran seperti Kedah untuk mempromosi Putu Perak," ujarnya.
Zie juga pernah membuka gerai jualan Putu Perak di Karnival Sua Rasa anjuran televisyen swasta, TV9 di pekarangan Stadium Perak pada bulan April lalu.
Usaha wanita itu semakin mendapat pengiktirafan apabila Putu Perak buatannya disenaraikan sebagai salah satu Makanan Popular Perak oleh FAMA negeri.
Lebih membanggakan, kuih warisan itu berjaya menembusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) pada 2008 dan 2010.
Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.
Pembukaan gerai jualan itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan kuih warisan itu. Keunikannya menarik minat ramai pengunjung R&R tersebut untuk membeli dan mencuba keenakan Putu Perak.
Bagi yang pernah merasai Putu Perak sebelum ini, penjualan kuih warisan itu di kawasan milik Plus Expressways Berhad (PLUS) itu mampu mengimbau kenangan silam.
Bagi mereka yang tidak pernah menikmatinya, tentunya ia menjadi satu pengalaman baru apabila berpeluang menikmati makanan tradisional tempatan yang hampir pupus.
Menyentuh hati
Pengalaman melayan ragam pelanggan meninggalkan pelbagai kenangan buat Zie. Begitu juga dengan kisah seorang pelanggan wanita berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Ramadan lalu.
Zie memberitahu, sepanjang bulan Ramadan itu, gerai jualan Putu Perak di R&R Ulu Bernam arah selatan ditutup bagi memberi ruang kepada dia dan pekerjanya menyiapkan tempahan kuih dan kek raya di Chenderong Balai.
Satu hari dalam bulan yang mulia itu, Zie dihubungi oleh seorang wanita yang begitu teringin merasai Putu Perak.
Wanita yang mendapat nombor telefon bimbit Zie daripada pengurusan PLUS dan FAMA Perak itu merayunya agar membuka gerai jualan di R&R tersebut.
Menurutnya, dia berasal dari daerah Hilir Perak tetapi telah menetap lama di Seremban, Negeri Sembilan dan sanggup memandu kereta dari jauh semata-mata mahu menjamah Putu Perak sebagai salah satu sajian berbuka puasanya.
Mendengar rayuan wanita terbabit, Zie tidak sampai hati lantas menyiapkan kuih warisan yang dipesan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan tersebut di kawasan R&R terbabit.
"Saya akhirnya dapat menyerahkan Putu Perak yang dipesan wanita itu ketika hampir waktu berbuka puasa. Daripada riak mukanya, jelas dia gembira kerana dapat menikmati putu tersebut.
"Terharu saya sekejap. Momen itu menjadi antara pengalaman indah sepanjang saya berniaga Putu Perak. Semangat saya semakin kuat untuk membawa kuih warisan negeri kelahiran saya ini di peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Sumber : Kosmo 23 Nov 2010