Pages

Wednesday, November 27, 2013

Pembayaran Online Melalui Maybank2Upay


Kini transaksi online menjadi lebih selamat dan dipercayai oleh pembeli dan peniaga. Maybank telah membangunkan platform pembayaran yang dikenali sebagai Maybank2Upay bagi memudahkan peniaga yang tidak mempunyai webstore dengan menyediakan platform pembayaran ringkas.

Sofaz Freshmart telah mengorak langkah menyokong usaha pihak Maybank ini dan nampaknya hasil jualan semakin meningkat dan mudah.

Bagi pelanggan dan pembeli di website www.tempe.com.my, anda semua boleh terus membeli tanpa ragu-ragu melalui Maybank2Upay ini. Kami perturunkan langkah-langkah mudah untuk berurusan menggunakan Maybank2Upay ini :


Selepas anda klik logo Maybank2Upay seperti di atas, page ini akan keluar page maybank2U.com.my (window baru) untuk anda login.


Anda perlu mamasukkan password maybank2U anda.


Setelah itu, page pembayaran akan dipaparkan dan anda perlumemasukkan butiran diperlukan di setiap kotak dan akhirnya perlu klik pada 'Disclaimer For Payments'.


Seterusnya anda perlu klik pada 'Request a TAC Number'. Setelah mendapat TAC dari handphone anda, masukkan nombor TAC tersebut anf klik pada butang 'Confirm' untuk tujuan pengesahan.

Selepas itu, selesailah urusan pembayaran anda. Hanya 5 langkah mudah untuk membuat pembayaran.

Pihak Sofaz Freshmart akan menghubungi anda bagi tujuan pengesahan tempahan dan urusan penghantaran.

Mudah kan ? Ya, anda perlu cuba dan rasakan betapa mudahnya transaksi online ini.

CUBA LAH.

Friday, July 19, 2013

Projek Khas Ramadan 1434H

Assalam semua pembaca setia blog ini,

Entri kali ini berkaitan dengan projek terbaru dari Sofaz Freshmart bersempena ramadan kali ini.

Tart Nenas
Harga : RM22.00 / 50pcs


Kerepek Pisang Tanduk
Harga : RM30.00 / kg


Inilah rupanya projek terbaru Sofaz Freshmart.. Anda semua boleh la mula menempah dari sekarang sebelum terlambat. 

Sebenarnya projek ni dah sebulan dijalankan tapi promosi melalui blog agak terlambat kerana lebih tertumpu kepada media lain seperti FB dan Mudah.my.

Sila buat tempahan sebelum 28 Ogos 2013.

Selamat Berpuasa.

Thursday, June 20, 2013

Inovasi Resepi Tempe Oleh UKM



BANGI, 28 Mei 2013 – Mengubah suai resipi masakan menggunakan tempe adalah satu misi baru bagi Profesor Madya Dr Hasnah Haron dari Program Sains Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau kini giat menjalankan kajian dalam mengubahsuai cara masakan yang menggunakan tempe seperti burger tempe, begedel tempe, kuah lodeh dengan tempe menggunakan susu cair dan tempe goreng sambal.Tidak hairanlah di kalangan warga kerja kampus UKM di Kuala Lumpur, Dr Hasnah diberijolokan “Dr Tempe”.

“Apa yang saya lakukan adalah mengubah cara masakan tradisional yang menggunakan minyak yang banyak untuk menggoreng serta santan yang menyumbangkan kalori yang tinggi dalam hidangan tersebut”.

Beliau juga sedang mengkaji untuk menambah kandungan kalsium ke dalam tempe.

“Pengubahsuaian cara memasak ini adalah penting kerana ia menyumbang kepada kandungan kalori yang tinggi dalam makanan dan menjejaskan kesihatan,” kata Dr Hasnah.

Dalam projek penyelidikan menggunakan tempe itu beliau dibantu oleh pelajar siswazah dan prasiswazah Norfasihah Raob, Lim Min Li, Wu Suet Ki dan NorFathin Ahmad.

Tempe yang digunakan untuk membuat tempe goreng sambal akan dibakar menggunakan ketuhar dan tidak digoreng menggunakan minyak.

Begedel pula menggunakan tempe yang menggnatikan daging yang biasa digunakan dalam begedil.

Bagi kuah lodeh,  susu cair menggantikan santan yang biasa digunakan
Begitu juga dalam membuat burger tempe, hanya kacang soya digunakan menggantikan daging.

“Setakat yang saya tahu di Amerika Syarikat dan Negeri Belanda burger tempe sudah dihasilkan iaitu kesemua daging dalam burger digantikan dengan tempe. Produk ini khas disajikan untuk mereka yang tidak makan daging tetapi hanya sayuran,” kata Dr Hasnah.

Bagaimana pun, apa yang tidak kurang penting adalah kajian Dr Hasnah melibatkan pertambahan kalsium kedalam tempe untuk menambah nilai pemakanannya.

Beliau sedang menguji untuk menambah kalsium laktat (gred makanan) ke dalam kacang soya untuk menambah kandungan kalsium dalam tempe.

Semua masakan yang telah diubahsuai yang berasaskan tempe yang ditambah kalsium akan diuji oleh panel di Bilik Sensori di kampus UKM, Kuala Lumpur.




Wednesday, June 12, 2013

Kajian UKM : Tempe Mengandungi Kalsium Setanding Susu

BANGI, 27 Mei 2013 – Sekumpulan empat orang saintis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seorang dari Universiti Putera Malaysia (UPM) dan seorang ahli biokimia dari Universiti Cornell Amerika mendapati bahawa tempe, suatu produk kacang soya, mempunyai jumlah penyerapan kalsium yang sama dengan susu.

Didapati empat keratan tempe boleh mendapatkan sejumlah serapan kalsium yang sama dengan yang diperolehi dari satu gelas susu empat auns.

Ketua pasukan penyelidikan itu, Profesor Dr Suzana Shahar, daripada Jabatan Nutrisi dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, UKM berkata tempe didapati dapat menyediakan kalsium yang diperlukan oleh wanita yang menghadapi risiko kerapuhan tulang.

Wanita yang sudah menopaus menghadapi penyakit seperti kelampungan tulang (osteoporosis) kerana kekurangan pengambilan kalsium yang di perolehi dari susu.

Beliau menyorot kepada beberapa kajian terhadap pengambilan makanan di Malaysia sejak sedekad lalu yang berulang kali menunjukkan pengambilan kalsium sehari adalah kurang daripada 500 mg.

“Pengambilan kalsium yang kurang dikaitkan dengan risiko tulang retak. Oleh itu tempe menyediakan kalsium yang diperlukan oleh wanita yang menghadapi risiko kerapuhan tulang,” kata Profesor Suzana. “Penyerapan kalsium daripada susu dan tempe diambil oleh wanita Melayu pasca menopaus menggunakan teknik dua isotop stabil”.

Anggota pasukan itu terdiri dari Prof Dr Kimberley O O’Brien daripada Bahagian Sains Nutrisi, Universiti Cornell, Ithaca, New York, Amerika Syarikat; Prof Madya Dr Hasnah Haron dari Jabatan Nutrisi dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, UKM; Prof Dr Suriah Abdul Rahman, dari Program Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM; Prof Dr Amin Ismail dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Serdang dan Prof Dr Norazmi Kamaruddin, dari Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.

Prof Kimberley adalah ahli biokimia yang pakar dalam penyelidikan makanan terhadap manusia menggunakan isotop stabil. Beliau didatangkan ke UKM untuk membantu penyelidikan itu memandangkan ia menggunakan isotop yang terletak di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Isotop memberikan ukuran spesifik penyerapan kalsium ke dalam badan.

Mereka yang dipilih mengambil bahagian dalam kajian itu adalah wanita Melayu berusia di antara 55 dengan 65 tahun, sudah menopaus sekurang-kurangya dua tahun dan tidak mengidap penyakit atau menggunakan ubat-ubatan yang diketahui tidak mengganggu keseimbangan kalsium (seperti sakit darah tinggi, kencing manis, kegagalan ginjal, sakit jantung dan barah).

Seramai 42 orang wanita antara yang disaring didapati layak menyertai kajian itu tetapi hanya 21 orang sahaja telah menawarkan diri untuk kajian itu.

Prof Suzana berkata pengambilan kalsium di kalangan wanita tua Melayu sudah menopaus di pedalaman adalah di antara 200-300 mg/sehari sedangkan penduduk Cina seperti dilaporkan sebelum ini adalah kurang daripada 500 mg/sehari.

“Wanita dalam kumpulan usia ini biasanya mencapai pengambilan kalsium pada puratanya antara 30-60 peratus daripada 1,000 mg kalsium/sehari yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Negara mengenai Pemakanan Khasiat Kebangsaan (RNI) 2005.

“Kekurangan vitamin D amat berleluasa dan aktiviti kelenjar paratiroid melebihi paras normal peringkat sekundar adalah perkara biasa mungkin kerana sumber vitamin D yang terbatas dalam pemakanan dan pendedahan kepada cahaya matahari juga kurang berikutan amalan budaya,” katanya.

Prof Suzana memberitahu bahawa 65 pertus daripada wanita menopaus sememangnya kekurangan kalsium dalam tulang. Penambahan kalsium daripada sumber tumbuhan yang murah dan mudah diperolehi boleh menambah dengan banyak keperluan kalsium kumpulan yang berisiko tinggi itu.

“Satu lagi fakta yang harus diberi perhatian terdapat sejumlah tujuh peratus daripada penduduk Malaysia berusia lebih 60 tahun pada 2005. Kumpulan ini akan terus bertambah memandangkan jangka hayat bagi wanita telah meningkat daripada 66 kepada 76 tahun di antara 1980 dengan 2005.

“Jelas semakin ramai wanita di Malaysia akan menghabiskan satu pertiga daripada hidup mereka dalam keadaan pasca menopaus,“ kata Prof Suzana.

Beliau berkata satu strategi berkesan untuk mengurangkan kejadian kelampungan tulang di kalangan wanita ini adalah membaiki pengambilan kalsium dalam makanan yang diketahui adalah sebahagian daripada pengukuhan tulang.

Sudah diperakui bahawa susu dan produk tenusu adalah sumber terbaik kalsium dan ia amat penting untuk pertumbuhan dan kekuatan tulang.

Namun dalam makanan penduduk Malaysia, tempe dikategorikan sebagai satu daripada sumber makanan kaya-kalsium di samping susu dan produk tenusu, beliau menambah.

Tempe adalah produk kacang soya yang ditapai mudah diperolehi dan amat digemari oleh penduduk terutama di selatan negara.

Ia menjalani perubahan nutrisi sedang kacang soya itu melalui proses pentapaian menjadi tempe. Perubahan-perubahan ini mengubah kandungan pito kimia dan anti oksidan.

Penyerapan kalsium daripada susu biasa digunakan sebagai standard utama untuk membandingkan keboleh dapatan sumber lain kalsium. Di banyak tempat di dunia pengambilan tenusu dan tumbuhan menyumbang kepada penyerapan kalsium seharian, kata Prof Suzana.

Ketika ini, tidak terdapat banyak data mengenai penyerapan kalsium daripada produk kacang soya tempatan. Di kalangan wanita Melayu dalam golongan terlibat, penyerapan kalsium daripada tempe tidak banyak bezanya daripada yang diukur daripada susu.

Beliau menjelaskan satu kajian bertukar-silang secara rawak direka dan digunakan untuk mengukur penyerapan kalsium di kalangan wanita pasca menopaus berkenaan sama ada daripada segelas susu (114 mg) atau daripada memakan tempe (206 mg); setiap satu mengandungi 130 mg kalsium.

Pada setiap kajian Fasa 1 (pertengahan Julai) dan Fasa 2 (pertengahan Ogos) Kalsium 42 disuntik melalui vena dan Kalsium 44 disuap lantas penyerapan kalsium diukur dalam kandungan air kencing yang diambil 24 jam kemudian.

Air kencing itu dianalisis untuk kandungan kalsium misotopik di Unit Penyelidikan Manusia Universiti Cornell, Amerika Syarikat.

Dua ujian makanan digunakan dalam penyelidikan itu, ia itu susu dan tempe. Susu digunakan adalah susu pekat, disteril pada suhu ultratinggi dan tidak diperkuatkan dengan vitamin D.

Kandungan kalsium dalam 100g tempe goreng adalah 62.5 mg manakala susu adalah 114 mg. Setiap makanan mengandungi kira-kira 130-150 mg kalsium, dipilih agar merupakan satu pertiga daripada penggunaan kalsium oleh wanita Melayu pasca menopaus.

Bagi ujian susu, Kalsium 44 ditambah menggunakan alat suntikan dan kemudian dibenarkan diimbangi sekurang-kurangnya 12 jam sebelum diminum. Alat-alat suntikan itu ditimbang sebelum dan selepas digunakan untuk menentukan jumlah sebenar isotop ditambah ke dalam minuman ujian itu.

Wanita terlibat kemudian diberi susu berisi Kalsium44 itu. Dalam ujian awal untuk tempe, penambahan isotop kepada tempe goreng menyebabkan ia lembap dan tidak sedap dimakan. Lantas Kalsium44 ditambah ke dalam air minuman 50 ml menggunakan alat suntikan sekurang-kurangnya 12 jam sebelum ujian dimulakan.

“Hasil ujian kekuatan penyerapan kalsium daripada tempe didapati adalah sama dengan dilaporkan sebelum ini terhadap wanita Asia pramenopaus yang sihat yang memakan tahu (39.0%) dan susu (39.8%) yang diberikan kepada kandungan kalsium 200 mg.

“Satu kajian dilakukan pada 2005 juga mendapati penyerapan kalsium sama di antara susu soya diperkuat dengan kalsium dengan susu lembu di kalangan wanita pra menopus yang sihat, diuji dengan kepadatan kalsium 250 mg,” kata Prof Suzana.

Hasil terdapatnya kalsium dalam air soya diperkuat dan tahu biasanya adalah untuk mendapatkan kekuatan penyerapan kalsium kerana air soya mengandungi kurang kalsium.

Garam kalsium biasanya ditambah sebagai bahan pengumpal dalam membuat tahu. Proses pentapaian dalam membuat tempe menambah kedapatan galian, termasuk kalsium.

Proses itu juga mengurangkan tahap asid fitik dan mengubah isoflavon kepada aglikon yang lebih bersedia diserapkan ke dalam badan, kata Prof Suzana.

Perubahan-perubahan ini mungkin sebahagiannya bertanggung jawab kepada keboleh dapatan kandungan bio yang sama di antara tempe dengan susu.

Pada ujian kali ini, hampir satu pertiga daripada responden melaporkan mereka tidak pernah minum susu.

Majoriti 70% memberitahu mereka hanya mula memasukkan susu (susu cair dan susu pekat) ke dalam makanan mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas diberitahu kesan pemakanan itu terhadap sakit kelampungan tulang.

Pemakanan kalsium yang rendah dilaporkan menjadi faktor bahaya kelampungan tulang di kalangan wanita Asia. Wanita Melayu dalam kajian ini mengalami kerapuhan tulang di samping kurang mengambil makanan ada kalsium yang memungkinkan mereka berdepan bahaya tulang pinggul retak.

Kejadian tulang pinggul retak dijangka meningkat di kalangan wanita di Malaysia sedang negara bertambah maju dengan penduduk hidup di bandar dan semakin tua.


Tuesday, February 26, 2013

Artikel : Tempe Pun Pandai Merajuk, Mudah Rosak Jika Tidak Pentingkan Aspek Kebersihan






KEPANDAIAN orang dahulu memproses makanan agar tahan lama tanpa kemudahan seperti mesin dan peti sejuk dikagumi. Tidak hairanlah jika makanan yang menjadi tradisi turun temurun masyarakat seperti telur pindang dan ketupat nasi boleh tahan berhari-hari.

Satu lagi makanan tradisi yang popular adalah tempe. Makanan tersebut begitu sinonim dengan masyarakat Jawa. Ia diperbuat daripada kacang soya, mempunyai rasa unik dan menyelerakan lebih-lebih lagi apabila dimasak menjadi sambal tumis pedas berserta ikan bilis. 


Hari ini, tempe bukan semata-mata dijadikan sayur dalam masakan, tetapi sudah dikomersialkan menjadi kerepek rangup yang boleh dimakan pada bila-bila masa, tidak kira bangsa mahu pun keturunan. 


Ragi sukar diperoleh 

Menurut pengusaha tempe, Hailrul Ashid Paat (Ashid), 36, proses pembuatan tempe terdiri daripada proses memecah kacang soya, merendam, membasuh, merebus, meragi dan membungkus. 

Meragi adalah proses paling penting dalam penghasilan makanan tradisi ini. Ia adalah bahan berbentuk serbuk yang berfungsi untuk memanaskan seterusnya merangsang pertumbuhan cendawan atau kulat tempe pada kacang soya. 

“Orang dulu-dulu susah nak dapat ragi, jadi, mereka proses semula tempe yang sudah siap. Hancurkan tempe, jemur sampai kering kemudian tumbuk semula jadikan serbuk. Serbuk itu akan diguna sebagai ragi,” katanya yang mengakui ia satu proses rumit dan menuntut kesabaran. 


Proses membuat tempe 

Bapa kepada Muhammad Iman Haikal ini berkata, memecah kacang adalah proses menceraikan kacang soya kepada bijian yang lebih kecil untuk memudahkan proses membuang kulit dan meragi. 

Selepas kacang dileraikan, ia perlu direndam dalam air selama tiga hari untuk mengasingkan lebihan kulit yang akan naik ke permukaan air sekali gus melembutkan kacang sebelum dilakukan proses seterusnya. 

“Dalam kacang soya ini ada gas. Salah satu sebab kita merendam kacang soya juga adalah untuk mengeluarkan gas itu,” katanya yang mewarisi teknik pembuatan daripada ibu, Jariah karim, 57, dan bapa, Paat Damin, 62. 

Selepas tiga hari, kacang akan ditos dan dibasuh sebelum direbus selama lebih kurang dua jam, atau sehingga air mendidih dan berasap. 

“Kemudian ia dikeringkan dan diragi. Selesai meragi, kacang soya akan dibungkus; dalam plastik bagi tempe yang mahu dijadikan cip atau dibungkus dengan daun pisang bagi tempe yang mahu dijadikan sayur atau penyedap makanan,” katanya. 

Menurut Ashid, kacang soya yang siap dibungkus akan disimpan selama antara dua ke tiga hari di tempat kering sehingga ditumbuhi cendawan keputih-putihan. 

"Apabila cendawan tumbuh memenuhi permukaan kacang soya, itulah yang dinamakan tempe," katanya. 


Petua mengenal tempe 

Berkongsi petua mengenal tempe yang rosak, Ashid berkata, sesetengah tempe akan timbul bentuk atau berubah warna kehitam-hitaman pada satu-satu bahagian, namun, ia bukan bererti rosak atau busuk. 

Sebaliknya, ia adalah disebabkan proses meragi yang tidak sekata yang menyebabkan bahagian tersebut terlebih panas. 

“Sebab itu kalau nak buat tempe ni kena pentingkan aspek kebersihan. Tempe pun boleh merajuk. Maksudnya, tak jadi atau mengambil masa lebih lama untuk cendawan tumbuh. 

“Kalau nak kenal tempe yang tak elok, tengok pada warna kekuning-kuningan di permukaan tempe. Kalau kuning dan ada bau, ia tak elok. Tapi, jangan salah sangka pada tompok hitam tempe, kerana itu mungkin sebab kesan ragi yang tak sekata,” kongsinya. 

Menurut Ashid, tempe yang sudah siap biasanya masih panas dan boleh bertahan sehingga dua hari, manakala jika diletak dalam peti sejuk boleh bertahan tiga hari. 

“Berdasarkan cerita yang saya dengar, tempe ini asalnya dari Indonesia. Ketika berlaku kebakaran masyarakat Jawa tiada makanan, yang ada cuma biji-bijian soya. Mereka proses dah terhasillah tempe,” katanya.

NOTA : Penulis bukan orang yang dimaksudkan di dalam posting ini. sila jangan hubungi kami.