Pages

Sunday, December 18, 2011

Ramai Nak Membeli.... Kami Jelaskan

Pihak TempeVsTapaiubi kebelakangan ini menerima banyak emel samada dari dalam dan luar negara bertanyakan pasal nak membeli produk Sofaz Freshmart.

Kami mohon maaf le sebab meng'konfius'kan ramai orang. Lebih-lebih lagi bakal pelanggan luar negara yang gunakan google translate untuk memahami isi kandungan blog ini.

TempeVsTapaiubi telah menyediakan page 'Katalog Produk' untuk kemudahan tuan/puan untuk melihat sebahagian produk yang dijual (macam gambah bawah ni).

Klik saja ke page tu anda dah boleh lihat produk yang sesuai untuk difikir-fikir untuk dibeli.

Kami juga dah bagitau supaya bakal pelanggan bagaimana nak tengok senarai produk (macam gambar atas) dengan mudah.

Untuk bakal pelanggan luar negara, depa ni kira ok sikit. Agak faham dengan kandungan blog dan menggunakan sepenuhnya info yang ada.


Bila klik saja 'magFOOD Store' maka anda akan dibawa ke website online untuk pembelian terus. mudah saja. Buat bayaran melalui Paypal dan tempahan terus ke pintu rumah anda.



Memang mudah bila ada bisnes online sebegini terutama bila berurusan dengan pelanggan luar negara. Amat seronok bila tiap hari/minggu tengok akaun masyuk..Yang penting disiplin, kepercayaan dan ketepatan. Satu dua masalah terutama yang melibatkan masalah kastam bukanlah penghalang.

Bagi pelanggan tempatan, blog separa online juga kami sediakan untuk kemudahan semua.
Blog edaronline menjadi pilihan ramai kerana produk dan harga dipaparkan untuk rujukan dan pilihan.

Diharap dengan penerangan serba sikit ni boleh memudahkan para bakal pelanggan untuk terus membuat tempahan.


Selamat membeli belah...


Statistik pembaca/bakal pelanggan produk TempeVsTapaiubi pada Nov 2011

Saturday, December 10, 2011

UMT Fokus Kajian Makanan Tempatan



Malah produk aiskrim nira (Nira Delights) telah memenangi pingat emas, Platinum dan Anugerah Khas Reka Cipta Terbaik (Kategori Pengguna) daripada The Foundation of Support of Iranian Elites 2008, pada Pameran Reka Cipta British dan perak pada Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2007. Ini membuktikan bahawa produk nira bukan sahaja diterima di arena tempatan malah di luar negara.

Satu daripada produk tempatan yang dihasilkan ialah menggunakan buluh madu yang mana penyelidikan bertujuan mengenal pasti kandungan aktifnya dan kesesuaiannya untuk dijadikan produk-produk sampingan.

Penyelidikan lain termasuk mengubahsuai penggunaan lemak koko dengan menggunakan bahan gantian lain bagi mendapatkan bahan berguna yang berbeza selain mengurangkan lemak yang terdapat dalam coklat .

Mengenai penyelidikan buah-buahan nadir beliau berkata, ia melibatkan ceri Terengganu, buah mentega dan buah cermai yang digunakan untuk menghasilkan jem, sos, gegelung buah dan lain-lain produk.

Selain itu, penyelidikan mengenai produk perikanan seperti udang lipan, belut, haruan, ketam ragi, kepah dan lokan juga dijalankan untuk menghasilkan banyak produk hiliran dan makanan tradisional.

Kebanyakan sumber perikanan ini mempunyai nilai pemakanan yang tinggi dan tidak digunakan secara komersial.

Aktiviti lain termasuk sebagai penasihat projek Kelab Student in Free Enterprenurship (SIFE) yang memenangi tempat pertama BSN Venture Challenge 2010 dengan projek komuniti berasaskan nira nipah.

Projek berkenaan disasarkan untuk membangunkan penggunaan nira nipah yang pada ketika ini terbatas penggunaannya.

Projek yang dijalankan bersama dengan komuniti di Yan, Kedah dengan bantuan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menunjukkan bahawa aktiviti UMT tidak hanya terbatas di Terengganu malah boleh membantu komuniti di seluruh negara.

Selain itu, fakulti berkenaan juga mengadakan bengkel penghasilan produk makanan komersial serta khidmat nasihat industri kecil.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel tanggungjawab sosial universiti yang memberikan pendedahan kepada golongan wanita dan ibu tunggal. Mereka diberi latihan secara percuma dalam penghasilan produk-produk hiliran seperti kordial, jem, cincau dan produk-produk berasaskan soya.


Pada masa sama, jabatan berkenaan juga melalui kursus yang diajar menggalakkan pelajar mencuba pelbagai kaedah untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat yang menjadi kegemaran penduduk negara ini.

Kejayaan fakulti berkenaan dalam beberapa penyelidikan sebelum ini disokong bukan sahaja oleh tenaga pelajar dan pelajarnya yang semakin kreatif tetapi juga dibantu oleh kemudahan canggih bersesuaian dengan keperluan penyelidikan.

Antara kemudahan yang disediakan adalah lima makmal (Makmal Analsis Kimia, Makmal Sains Makanan, Makmal Teknologi Makanan, Makmal Penyediaan Makanan, Makmal Konfeksionari) dan Restoran Jabatan Sains Makanan.

''Kemudahan ini membolehkan pelajar boleh menjalankan analisis kandungan makanan dengan menggunakan alat-alatan terkini, menggunakan alat-alatan untuk pemerosesan, penghasilan makanan berasaskan tenusu dan coklat serta menjalankan perniagaan secara praktikal di restoran," ujarnya .

Sebagai contoh kata Dr. Amir Izzwan, kajian juga dijalankan untuk menghasilkan nasi lemak yang lebih menyihatkan iaitu menggantikan santan dengan bahan lain seperti kacang soya.

Penyelidikan melalui fasa uji rasa, penyelidikan kandungan nutrient dan jangka hayat makanan. Keputusan menunjukkan bahawa campuran susu soya boleh diterima dengan baik dan meningkatkan nutrient yang ada didalam nasi lemak

Meskipun projek berkenaan masih di peringkat kajian, pihaknya yakin ia boleh diterima sekiranya rakyat negara ini menyedari kepentingan menjaga kesihatan dengan mengambil diet yang sihat.

Selain itu banyak kajian-kajian lain yang dilakukan untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat tetapi menyelerakan.

Antaranya, memanfaatkan bahan mentah asas yang akan diteroka adalah ubi-ubian (kanji), produk berasaskan bahan sampingan jagung dan bahan-bahan sampingan pemerosesan ikan.
Pada masa sama, terdapat produk-produk yang didalam fasa perbincangan untuk dikomersialkan.

Pengkomersialan biasa akan diikuti oleh perundingan serta pengawalan kualiti oleh UMT untuk memastikan produk yang dihasilkan adalah berkualiti dan menepati piawaian.


Tuesday, September 20, 2011

MyAgro Buka Peluang Usahawan Tani


PAMERAN Malaysia Agro atau ringkasnya MyAgro 2011 yang bertemakan Memperkasa AgroBisnes bakal mewarnai dunia usahawan tani di negara ini bermula esok.

MyAgro 2011 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC), Kuala Lumpur bakal berlangsung selama empat hari sehingga Jumaat ini .

Pengerusi Penganjur MyAgro, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata, pameran MyAgro lebih menjurus kepada peluang-peluang perniagaan kepada rantaian usahawan tani bermula daripada awal misalnya pengusaha biji benih sehingga produk sampai kepada pengguna.
"Pertanian bukan hanya tertumpu kepada bercucuk tanam tetapi lebih daripada itu.

"Malahan pertanian bermula dengan pencarian benih atau baka terbaik, baja, racun serangga, racun rumpai, alat bantuan tanaman, menuai, mekanisasi bagi membantu pertanian, pembungkusan, pelabelan, logistik, pusat pengumpulan, pemborong, peruncit dan pengguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ,Datuk Seri Noh Omar dijangka merasmikan pameran tersebut esok.

MyAgro 2011 bakal menjadi tempat pertemuan bagi mengisi kekosongan rantaian dalam bidang pertanian.

Pameran MyAgro yang merupakan inisiatif sektor swasta dengan kerjasama agensi kerajaan, badan penyelidikan, institut pengajian tinggi tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan penekanan kepada tiga aspek utama iaitu :

  • Peluang perniagaan yang ada dalam sektor pertanian
  • Potensi pelaburan
  • Produk-produk untuk pengguna seperti konsep fruits, flowers, flavours atau buah bunga dan perisa.

"Pada pameran berkenaan terdapat industri kecil dan sederhana (IKS) yang berpotensi untuk pergi lebih jauh seperti pasaran eksport," katanya.


MyAgro boleh dikatakan sebagai pusat sehenti bagi usahawan tani mendapatkan pelbagai maklumat mengenai perniagaan dalam sektor pertanian.

Mohamed Sharif berkata, MyAgro juga kesinambungan atau mengisi kekosongan semasa Pameran Pertanian Hortikutlur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Walaupun baru kali pertama diperkenalkan, MyAgro mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta IKS serta pedagang.

Terbahagi kepada dua kumpulan, peruncit dan pedagang sehingga kini terdapat 110 orang peserta mengambil bahagian.

Antaranya terdapat syarikat yang memberikan pakej tanaman fertigasi lengkap bagi pengunjung.

Selain itu terdapat juga institusi perbankan yang turut serta bagi memberikan khidmat nasihat mengenai pembiayaan.

"Negara yang mempunyai begitu banyak pekebun kecil perlu melihat peluang yang tersedia bagi membangunkan lagi perniagaannya.

"Transformasi luar bandar dalam pertanian akan terjadi dengan adanya akses kepada kawasan pengeluaran seperti lebuh raya," katanya.

Pada masa yang sama juga di pengunjung boleh menghadiri seminar serta demonstrasi di pameran MyAgro.

Apa yang menarik pembentang kertas kerja terdiri daripada mereka yang terlibat dalam dunia pertanian seperti pensyarah, penyelidik serta usahawan tani dari institut pengajian tinggi, agensi penyelidikan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta usahawan tani yang penuh dengan pengalaman.

"Usahawan tani mendapat banyak pendedahan dengan menyertai pelbagai pameran yang diadakan.

"Dengan pameran yang diadakan diharap minat generasi muda terhadap sektor pertanian semakin bertambah," katanya.

Setiap kali pameran pasti akan ada perkara baru yang akan diketengahkan misalnya kali ini dalam pameran MyAgro, terdapat gerai yang akan mempamerkan tanaman hiasan yang menyerap toksik di persekitaran.


Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan pendapatan petani kecil yang bergiat dalam bidang nurseri tanaman.

"Malah kajian berkenaan telah disokong dengan kajian oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA)," katanya.

Walaupun baru pertama kali diadakan MyAgro berjaya mendapat penyertaan negara jiran seperti Singapura.

Selain itu ini merupakan masa yang sesuai mempromosikan buah-buahan nadir yang tidak popular dengan penjenamaan semula.

Misalnya, mangga Sala yang tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat menjadi popular di Singapura dengan nama Perlis sunshine manggo.

Pada masa yang sama, produk-produk 1Malaysia Best akan dipamerkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Maklumat lanjut mengenai MyAgro boleh melayari laman web www.myagro.my



Friday, August 26, 2011

Wednesday, August 24, 2011

Peluang Pasaran Antarabangsa

As salam semua,

Sejak kami mengiklankan produk di ebay, ramai dikalangan pelanggan menghubungi kami untuk kembali membeli (return customer).

Mereka juga berharap agar pihak kami dapat memberi diskaun terhadap pembelian mereka.

Ya sudah tentu. Namun beberapa faktor seperti yuran yang dikenakan oleh pihak Paypal perlu juga diambilkira.

Selepas membuat kajian serba sikit, kami telah menemui webstore percuma untuk jualan online. Selepas mencuba beberapa bulan, purata RM300 sebulan berjaya diperolehi dari webstore ini. Alhamdulillah...

Webstore kami juga menduduki 'top 10' di enjin pencari Google. Pencapaian yang amat baik dan menjadi faktor penyebab angka jualan meningkat.



Mengapa nak cerita pasal webstore ni?

Hmm..pertama ianya PERCUMA. Keduanya, senang nak edit atau update.

Cuba tengok sikit store kami di sini.


Kepada anda yang mahu mencuba bisnes online untuk jualan luar negeri, elok cuba webstore ini.

Tuesday, August 9, 2011

Mesin Santan Dua Dalam Satu



Pembangunan mesin pintar atau automatik bukan lagi industri baru di negara ini. Dengan perkembangan ini ia membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini melangkau ke tahap lebih tinggi. Seterusnya mendorong kepada pembangunan teknologi industri kampung atau indigenous technology.

Pelbagai pihak sama ada individu atau agensi kerajaan berlumba-lumba mencipta mesin yang dapat membantu pengusaha industri luar bandar.

Satu daripada mesin yang paling popular pada musim perayaan selain mesin membuat kuih ialah memarut atau memerah santan secara otomatik.

Terbaru, sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMap) memulakan penyelidikan pada tahun 2009 untuk membangunkan satu mesin dua dalam satu untuk mengeluarkan santan kelapa.

Mesin yang dibangunkan dengan menggunakan keluli tahan karat sebagai memenuhi syarat asas mesin berkaitan makanan merupakan mesin separa automatik untuk memenuhi keperluan pengusaha IKS.

Menurut ketua kumpulan penyelidik, Azmi Harun, mesin itu direka khas untuk memarut dan memerah isi kelapa secara berkesan.


Katanya, ia sangat berguna bagi mendapatkan santan secara maksimum dengan meningkatkan hasil dalam tempoh yang singkat.

''Konsep mesin ialah gabungan memarut dan memerah santan dalam masa singkat berbandng penggunaan mesin memarut dan memerah secara berasingan,'' katanya.

Mesin dua dalam satu sangat sesuai bagi pengusaha kerana ia meningkatkan produktiviti pengeluaran santan dalam tempoh yang singkat.

Ketika ini kata Azmi, kaedah konvensional membolehkan pengguna menghasilkan santan menggunakan kaedah memarut dan memerah secara berasingan.

''Kaedah ini memerlukan masa yang panjang jika ingin menghasilkan dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Selain itu, kata beliau mereka perlu melakukan dua kerja dalam satu masa itu memarut dan kemudiannya memerah santan.

Sudah tentu ia membazir masa dan ada kemungkinan terdedah kepada kekotoran ketika pengendalian dilakukan.

Azmi memberitahu, dengan menggunakan kombinasi kerja dua dalam satu tentunya menjimatkan masa dan penghasilan lebih pantas dalam tempoh sejam.

Ini dibuktikan dengan ujian dan analisis kerja dijalankan oleh mereka selepas pembangunan badan mesin itu disempurnakan.

Kajian yang dijalankan oleh kumpulannya juga membabitkan perbandingan antara kaedah konvensional yang ada di pasaran dan penggunaan mesin tersebut.

Hasilnya didapati sebanyak 30 kilogram (kg) santan dapat dihasilkan dalam tempoh sejam menggunakan mesin dua dalam satu itu berbanding antara 20 dan 25 kg pengguna kaedah konvensional pada tempoh masa yang sama.

Mesin yang direka menggunakan tali sawat (belt) yang dipasang kepada alat memarut dan skru memerah.


Hanya satu motor elektrik digunakan yang membabitkan satu fasa motor berkuasa 1.5 kuasa kuda dengan kelajuan 1,420 rpm serta penggunaan voltan 240v, 7.3 ampere yang digunakan untuk memindahkan kuasa menggerakkan tali sawat.

Mesin beroperasi menggunakan satu suis untuk bekalan kuasa kepada motor yang diletakkan di bawah mesin.

Kuasa dipindahkan dari motor elektrik kepada kedua-dua alat memarut dan memerah dengan tali sawat jenis V.

Dua tali sawat digunakan iaitu satu daripada motor untuk memusingkan gear yang bersambung dengan skru pemerah dan satu lagi tali sawat dari motor kepada alat pemarut pada bahagian atas mesin.

Fungsi gear berpusing ialah untuk mengurangkan rpm motor elektrik dan mengoperasikan skru pemerah pada bahagian tengah mesin berkenaan.

Mesin juga boleh digunakan secara berasingan sama ada menggunakan pemerah atau pemarut.

Mekanismanya ialah mengubahsuai takal secara manual sama ada menarik atau menolak.

Mekanisme ini direka berdasarkan masalah jika pengguna menggunakan pemarut tetapi masih perlu menghasilkan santan menggunakan alat pemerah.

Mesin perlu dihentikan operasinya sebelum menolak atau menarik takal yang terletak pada motor elektrik secara manual bagi tujuaan mengasingkan operasi kedua-dua fungsi mesin.

Bila memulakan operasi mesin, hanya pemerah sahaja yang akan bergerak manakala pemarut kekal statik.

Sementara itu menurut Azmi, meskipun belum ada di di pasaran, mereka yang berminat boleh menghubunginya untuk berbincang mengenai pembangunan mesin. Tempoh dua minggu diperlukan untuk menyiapkan mesin berkenaan.

'Kumpulan kami masih melakukan penyelidikan ke atas mesin ini bagi tujuan penambahbaikkan. Tetapi sekiranya ada keperluan dari segi saiz kami perlu perbagaikan saiz.


RESEARCH & INNOVATION OFFICE
10 LEVEL, BANGUNAN KWSP,
JALAN BUKIT LAGI, 01000,
KANGAR PERLIS
TEL : 049798729   FAX : 049798039


p/s : kami bukan penjual mesin ini. Cuma menerbitkan semua artikel berguna ini. Harap maklum

Thursday, July 28, 2011

Edar Online: Senarai Biskut Raya 2011

Edar Online: Senarai Biskut Raya 2011: "Atas permintaan, saya sertakan senarai harga terbaru biskut raya 1432H / 2011. Almond London RM20.00 / 50pcs Tart Nenas RM20.00 / 50pcs ..."

Tuesday, July 26, 2011

95 Pasar Tani Khas Dibuka Sempena Ramadan


PUTRAJAYA - Sebanyak 95 Pasar Tani Khas akan dibuka di seluruh negara sempena bulan Ramadan ini bagi memastikan pengguna memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dengan harga berpatutan. 

Menteri Pertanian dan Industri Asa Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, 40 pasar tani khas tambahan sementara akan turut dibuka di 40 lokasi terutama di Lembah Klang dan di bandar-bandar besar. 

Beliau berkata pasar tani itu akan menawarkan barangan segar dengan harga 10 hingga 15 kali lebih murah berbanding barangan di tempat lain. 

Noh turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan kerjasama kepada permohonan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk membuka pasar tani tambahan itu. 

“Di Selangor saya difahamkan Fama belum mendapat kelulusan daripada PBT. Jadi saya minta PBT di Selangor dapat memberikan kerjasama kerana ia membolehkan pengguna mendapatkan barangan dengan harga yang murah,” katanya selepas melancarkan Pasar Tani Khas Aidilfitri di sini semalam. 

Noh berkata, Fama dan agensi-agensi berkaitan akan memastikan bekalan makanan untuk musim perayaan ini mencukupi terutama ayam dan kelapa. 

"Terdapat 458 pasar tani seluruh negara dengan 21,026 usahawan sehingga Jun lepas," katanya. -Bernama

Tuesday, March 15, 2011

Rahsia Kejayaan Usahawan Tempe



Perniagaan kecil-kecilan berasaskan makanan yang diwarisi daripada ibunya nyata tidak sia-sia, sebaliknya menjadi perintis jalan kepada usahawan ini mengenali dunia perniagaan lebih luas.

Syaratnya dia menerima perniagaan tersebut dengan hati terbuka selain diusahakan bersungguh-sungguh.

Begitu jalan cerita mudah bagaimana Nordin Arshad, 50, ‘bertemu jodoh’ dengan perniagaan yang diceburinya ketika ini.

Segalanya bermula ketika dia menghadiri taklimat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang disertai semasa masih berkhidmat dalam tentera.

Ketika itulah dia mendapat tahu mengenai Agro Bank yang ketika itu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia (BPM).

Sementelah bersara daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2000, Nordin mengambil alih perniagaan ibunya mengusahakan tempe.

Dia berbuat demikian kerana ketika itu ibunya menghidap strok.

Sepuluh tahun lalu, Nordin dan isterinya Normah Mohamad, 48, hanya mengusahakan tempe di dapur rumah emaknya di Kampung Sri Merlong, Rengit, Batu Pahat, Johor.

“Segalanya hanya bermula dengan modal RM400 untuk membeli kacang soya, ragi dan kertas pembungkus,” katanya.

Pada mulanya bapa kepada empat orang anak ini, hanya mempelajari cara membuat tempe daripada ibunya.

Tetapi selepas itu beliau mendapatkan khidmat nasihat daripada cawangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhampiran.

Pada masa sama, beliau juga menghadiri kursus keusahawanan anjuran Jabatan Pertanian untuk mendalami kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pemprosesan makanan.

Apabila permintaan pelanggan daripada kalangan keluarga, rakan dan jiran semakin bertambah, pada tahun 2007, Nordin memohon pinjaman daripada Agro Bank bagi membesarkan lagi usahanya.

Pinjaman sebanyak RM8,000 dimohon menerusi MUST Normal ,salah satu skim yang ditawarkan bank terbabit.

Selepas menyelesaikan pinjaman pertama dua tahun kemudian, pada tahun 
2009, Nordin sekali lagi memperoleh pinjaman kedua.

Pinjaman berjumlah RM18,000 melalui Micro ESP-i digunakan untuk membina bengkel memproses tempe di tanah kosong berhampiran rumah ibunya.

Kini Nordin yang dibantu oleh dua orang anak lelakinya, berjaya mengeluarkan sehingga 2,200 keping tempe sehari dengan berat sekeping lebih kurang 200 gram (g).

Sehingga kini tempe keluaran Nordin berjaya mendapat tempat di kedai runcit, pasar, sekolah, pasar mini serta jiran-jiran.

Sentiasa memilih yang terbaik untuk produk keluarannya, Nordin membeli kacang soya dan ragi dari pembekal dan memilih untuk membuang segala bahan-bahan sisa daripadanya.

Menyentuh mengenai keistimewaan produk tempe yang dihasilkannya beliau berkongsi sedikit ‘rahsia’ kenapa ia mendapat sambutan:

“Pelanggan sukakan tempe saya yang dikatakan lebih sedap, lembut, putih serta pembungkusan dengan kertas minyak dan daun pisang yang lebih bersih.’’

Bagaimanapun di sebalik ‘rahsia’ kejayaan itu, sebagai usahawan beliau tidak terlepas daripada menghadapi cabaran.
Adakalanya tempe yang dibuat tidak menjadi kerana cuaca terlalu sejuk atau panas.

“Tempe akan terhasil dengan baik dalam suhu bilik,” katanya.
Namun Nordin dan isterinya tidak hanya bergantung kepada satu jenis produk saja tetapi mengeluarkan produk lain seperti nuget tempe dan makanan sejuk beku seperti karipap dan samosa.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perusahaan tempe Nordin boleh menghubunginya di 014-3817754 atau 07-4245287.

Tuesday, January 25, 2011

Resepi : Ubi Kayu Sirap Gula Melaka


Salam semua,

Bila dah lama bergelumang dengan ubi kayu ni, kadang-kadang terpacul idea untuk buat resepi sampingan hasil dari ubi. Semalam, teringin nak buat ubi kayu sira. Cari punya cari terjumpa beberapa resipi ubi kayu dan resepi ini yang paling best sebab lama dah tak merasa masakan ini.

Kami kongsikan bersama kalau-kalau anda juga mahu mancuba.

Bahan-bahan:
300gm ubi kayu | dibuang kulit dan direbus hingga lembut
200gm gula Melaka
100gm gula kasar
1 helai daun pandan | disimpul
Garam secukup rasa

Cara memasak:
1. Didihkan gula Melaka, gula kasar, daun pandan dan garam. Tapiskan dan ketepikan.


2. Kemudian ubi kayu yang telah direbus tadi hendaklah dipotong kecil.


3. Akhir sekali, masukkan ubi rebus ke dalam bekas tahan panas dan tuangkan gula Melaka. 



Dinginkan sebelum dihidang. Sedia untuk dinikmati.


p/s : sedap juga kalau dimakan bersama aiskrim.


Kredit : rasa.com.my

Tuesday, January 11, 2011

Serunding Ikan : Produk Makanan Terlaris


PELUANG terhidang disediakan kerajaan berjaya menguatkan lagi semangat dan kesungguhan untuk seseorang itu terbabit dalam bidang perniagaan.
Bermula sebagai penternak ikan secara kecil-kecilan, kini berkat kegigihan dan bantuan daripada Jabatan Perikanan negeri, Fatimah Abu Bakar, 47, muncul pengeluar pelbagai produk berasaskan ikan air tawar.
Dia yang mengusahakan perniagaan di bengkel terletak di Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang kini turut memiliki 15 kolam simen yang menempatkan lebih 15,000 ikan keli.
Selain itu, wanita ini turut menternak lebih 25,000 ikan patin dan tilapia merah pelbagai saiz dalam 18 sangkar yang ditempatkan dalam Sungai Pahang. "Saya memulakan perusahaan ini sejak 2003, asalnya hanya untuk memenuhi masa terluang tetapi kini ia menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.
"Selain menjual ikan segar, saya turut terbabit mengeluarkan 10 produk berasaskan ikan air tawar seperti serunding ikan keli, keropok, temosa segera, nugget ikan dan popia.
"Setiap minggu saya memerlukan lebih 20 kilogram ikan keli bersaiz besar iaitu antara satu kilogram hingga dua kilogram seekor untuk menghasilkan serunding," katanya.
Menurutnya, sokongan suami, Mohd Yusoff Ismail, 56, yang turut bertanggungjawab memasarkan produk yang dihasilkan melancarkan lagi perniagaannya.
Rutin harian Fatimah kini lebih tertumpu kepada aktiviti memberi makan ikan dalam kolam dan sangkar, selain terbabit dalam menghasilkan pelbagai produk lain.
Untuk menghasilkan serunding ikan keli, ia hanya memerlukan daging ikan saja manakala penggunaan rempah tradisional yang dihasilkannya sendiri lebih menambah keenakan.
Memanfaatkan proses penyediaan serunding menggunakan teknologi moden, mesin mengacau dalam kawah akan berpusing selama tiga hingga empat jam tanpa henti.
"Selain enak dimakan begitu saja atau dijadikan inti temosa dan popia, serunding yang saya hasilkan turut sesuai dijadikan lauk nasi.
"Dengan penyediaan yang terbaik dan menggunakan resipi tradisional, serunding ikan keli saya mampu disimpan sehingga lapan bulan," katanya.
Sehingga kini, serunding ikan keli yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada masyarakat Melayu serta pelancong asing.
Kini produk berkenaan dipasarkan di beberapa pasar raya terkemuka di Pahang selain kedai runcit di samping diedarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
Menurutnya, selain membekalkan pelbagai produk berasaskan ikan air tawar, dia turut memasarkan dan menjadi peraih untuk beberapa jenis ikan seperti tilapia, keli dan patin.
Setiap minggu sebanyak satu metrik tan ikan segar dijual ke seluruh negeri membabitkan restoran, pasar dan penjual runcit.
"Penggunaan makanan proses membuatkan ikan saya ternak tidak berbau selain dagingnya yang lebih enak untuk pelbagai jenis masakan.
"Untuk membantu penternak kecil di daerah ini, saya juga membeli ikan mereka sebagai usaha memenuhi permintaan pengguna," katanya yang bercadang untuk menambah jumlah sangkar.
Bagi Mohd Yusoff, ikan keli yang terhad membuatkan mereka tidak mampu memenuhi permintaan terhadap serunding termasuk ikan segar.
"Kami terpaksa menolak permintaan beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara yang inginkan serunding dengan jumlah banyak selain dibekalkan secara berterusan.
"Bagi mengelak masalah berlaku, saya terpaksa membatalkan niat untuk memasarkan serunding ikan keli ke pasaran yang lebih luas," katanya yang mempunyai lima pekerja.
Menurutnya, untuk menghasilkan serunding yang berkualiti daripada segi rasa dan ketahanan menyimpan, tumpuan diberikan terhadap kebersihan dan kesegaran ikan.
Katanya, peralatan moden sumbangan Jabatan Perikanan negeri bernilai RM40,000 turut berupaya meningkatkan lagi pengeluaran dan kualiti produk.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan negeri yang banyak membantu menyediakan kelengkapan seperti mesin, peti sejuk dan ketuhar yang berjaya melancarkan pengeluaran.
"Sokongan Fama yang membantu daripada segi pemasaran turut meningkatkan lagi semangat saya dan isteri dalam perniagaan ini," katanya.