Pages

Tuesday, December 28, 2010

Usahawan Koleh Kacang Dari Kelantan


KHADIJAH IBRAHIM cukup gemar menikmati kuih koleh kacang, hinggakan beliau begitu cerewet setiap kali merasai koleh kacang yang dijual atau dihidangkan kepadanya.
Berusia 62 tahun, sudah puas Khadijah merantau jauh dari kampung asalnya, Kampung Paya Teratai di Bachok.
Jadi wanita itu sudah banyak mencuba koleh kacang, tetapi selalunya dia merasakan koleh kacang yang dijual tidak sesedap hasil buatan sendiri.
Kerana itu, beliau sering membuat koleh kacang untuk dirinya, keluarga, jiran dan rakan-rakan.
"Tak sangka pula jiran dan kawan-kawan sukakan kuih itu biarpun ada yang tidak pernah merasainya sebelum ini. Dari situ mereka kemudian mula meminta saya membuat kuih itu untuk majlis kecil mereka, kemudian untuk juadah hari raya, bahkan pada hari-hari biasa juga ada yang menempah untuk dinikmati bersama keluarga," katanya.
Gembira melihat keenakan kuih kegemarannya disukai ramai, Khadijah kemudian berniaga koleh kacang secara kecil-kecilan dan mula menerima lebih banyak tempahan.
Tanpa menunggu waktu kelapangan atau cuti hujung minggu, Khadijah yang ketika itu menjadi pengurus sebuah syarikat komputer di Kuala Lumpur, mencari masa sendiri memenuhi permintaan rakan dan jiran yang menempah kuih berkenaan.
"Ketika itu masa dirasakan begitu berharga, selain melakukan pekerjaan tetap, saya seperti tidak menang tangan menerima tempahan daripada rakan rapat sehinggalah pelanggan yang tidak dikenali serata Kuala Lumpur," ungkapnya.
Sungguhpun hampir 50 tahun menetap jauh dari negeri kelahiran Kelantan kerana menyambung pengajian dan mencari kehidupan sendiri, Khadijah tidak pernah lupa pulang menjenguk kampung.
Asalkan memiliki waktu terluang beliau pasti pulang ke kampung biarpun sudah ketiadaan kedua ibu bapanya selain adik-beradiknya seramai tiga orang juga menetap di luar Kelantan.
Katanya setiap kali pulang ke kampungnya beliau merasakan ada sesuatu yang kurang di kampungnya. Tiada sebarang perubahan dalam rutin harian, iaitu penduduk lelaki melakukan kerja kampung dan kaum wanitanya duduk bersantai selepas menghabiskan kerja rumah.
"Setiap kali pulang ke kampung, saya melihat penduduk kampung ada banyak masa, suri rumah selepas melakukan tugas harian waktu petangnya akan duduk di bangku kayu berborak sesama jiran.
"Ketika itu saya terfikir jika ada peluang pekerjaan, mereka pasti tidak duduk-duduk sahaja kerana mereka juga perlukan pendapatan tambahan untuk membantu suami menyara keluarga," kata ibu kepada empat anak itu.
Koleh kacang Khadijah
Beliau memikirkan untuk membantu memberi pendapatan sampingan kepada penduduk kampung yang kebanyakannya saudara-mara dan jirannya.
"Untuk mengubah kehidupan keseluruhan penduduk kampung mungkin saya tidak mampu, tetapi jika ada dua atau tiga orang yang dapat saya bantu itu sudah memadai buat permulaan," katanya sambil tersenyum.
Khadijah memulakan langkah baru dengan idea untuk mengembangkan resipi koleh kacangnya di kampung halaman sendiri.
Menurutnya, idea itu dipersetujui saudara-mara dan jiran di kampungnya yang bersedia menyumbang tenaga.
"Sejak itu kuih koleh kacang mula dibuat di Kampung Paya Teratai dengan jiran tetangga dan penduduk kampung sebagai orang kuat di sebalik penghasilannya.
"Untuk tenaga yang mereka sumbangkan, saya hadiahkan mereka wang harian," kata Khadijah yang lebih selesa menggunakan perkataan hadiah daripada upah yang disifatkannya lebih lembut dan mesra.
Koleh kacang yang dihasilkan bukan sahaja dipasarkan di Kelantan, tetapi turut dibawa kepada pelanggan setianya ke Kuala Lumpur.
Khadijah, yang memiliki dua diploma dan satu ijazah dalam bidang pertanian, pembangunan penyelidikan dan pendidikan kaunseling itu, tidak pernah lekang daripada idea untuk memajukan perniagaannya.
Selepas beberapa lama mengusahakan koleh kacang, timbul inisiatif baru untuk menghasilkan sesuatu yang lebih mudah kepada pelanggan, sesuai dengan dunia moden kini yang memerlukan sesuatu yang ringkas dan mudah.
"Saya terfikir kalau sekadar jual kuih payah juga, koleh kacang bukannya dapat disimpan lama, bila terasa hendak makan, baru dibeli. Justeru itu saya merasakan perlu ada sesuatu yang lebih mudah untuk pelanggan simpan dan dibawa ke mana sahaja," katanya.
Dari situ timbul idea menghasilkan tepung koleh kacang untuk pelanggan yang ingin membuat sendiri kuih itu tetapi dengan cara yang mudah dan cepat.
Bengkel koleh kacang
Tepung koleh kacang itu dibungkus dalam peket sederhana kecil dan sudah siap untuk diadun dengan ramuan khas yang hanya memerlukan masa di antara 7 sehingga 8 minit untuk dimasak menjadi kuih.
Menurut Khadijah, dengan bantuan Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (Iada) Kemasin Semerak, sebuah bengkel dibangunkan di kampungnya dan kini aktif beroperasi membuat kuih koleh kacang serta tepung koleh kacang. Produk itu kemudian dipasarkan di Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor dan lain-lain.
Katanya dengan bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan yang membekalkan beberapa mesin, perusahaan beliau semakin berkembang dan lebih ramai penduduk kampung kini bekerja di situ.
Khadijah yang sudah pun meletakkan jawatannya sebagai pengurus syarikat, kini mampu tersenyum bangga kerana hasratnya yang bukan sahaja mahu menjadi usahawan berjaya tetapi membantu penduduk kampungnya mencari pendapatan sampingan telah terlaksana.
Khadijah kini turut memiliki pusat pengumpulan dan pemasaran untuk menyimpan stok tepung koleh kacang di Danau Kota, Kuala Lumpur.
Beliau kini merancang menghasilkan beberapa tepung khas lain untuk membuat pelbagai jenis kuih tradisional bagi memastikan kuih berkenaan tidak lapuk ditelan zaman.
"Hasrat saya hendak tambah beberapa jenis tepung membuat kuih lagi yang lebih ringkas dan mudah, antaranya apam dan kuih bakar," katanya. - Bernama

p/s : Sofaz Freshmart ada jual tepung kek oren & coklat... gerenti jadi punya...hehe

Friday, December 24, 2010

Kehebatan Budu Kelantan


BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.
“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.
Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.
“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.
Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.
Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.
“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.
Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.
Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.
Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.
Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz.
Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.
Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.
Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.
Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.
Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.
Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula.
Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.
“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.
“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.

Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.
Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.
Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.
Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.
Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.
Bekalan bilis makin kurang
Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad.
Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.
“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.
“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.
Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.
Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.
“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.
“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.

Budu cerahkan kulit dan antipenuaan
RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.
Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.
“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.

Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.
“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.
“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.
“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.
Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.
Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.
“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.
“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.
Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Monday, December 6, 2010

2.66 juta Orang Kunjungi Pameran MAHA 2010


SERDANG - Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 yang berakhir petang semalam mencatat rekod baru apabila menerima 2.66 juta pengunjung sejak ia bermula pada 26 November lalu.
Pameran yang diadakan di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini turut menyaksikan jualan semasa yang diperoleh berjumlah RM23.5 juta meningkat sekali ganda berbanding penganjurannya dua tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, prestasi MAHA tahun ini meningkat berbanding MAHA 2008 yang menerima kunjungan seramai 1.2 juta orang, manakala hasil jualan pada tahun itu sebanyak RM9.69 juta.
Katanya, pada pameran kali ini, kerjasama perniagaan berjumlah RM153 juta telah dimeterai berbanding RM133 juta dua tahun lalu.
"Kita nampak berlaku peningkatan cukup memberangsangkan pada penganjuran MAHA 2010 termasuk bilangan gerai meningkat kepada 2,502 gerai berbanding 1,197 gerai pada MAHA 2008.
"Terdapat juga peningkatan terhadap pertanyaan perdagangan sebanyak 184,331 berbanding 155,000 dua tahun lalu. Ini menunjukkan pameran yang diadakan dua kali setahun ini semakin dikenali dan mendapat perhatian ramai," katanya semasa sidang akhbar pada majlis Penutup MAHA 2010 di sini semalam.
Tempevstapaiubi : 2 objektif penting iaitu mengutip seberapa banyak maklumat, flyers, kad bisnes dan mencari rangkaian rakan niaga telah tercapai namun akibat pengalaman dalam bidang pemasaran yang masih kurang, flyers 2000 keping pun tak habis diedarkan kepada pengunjung dan usahawan. Insya-ALLAH 2 tahun lagi strategi lebih ampuh akan dibuat. Apa-apapun terima kasih kepada pengunjung yang sudi singgah ke gerai IKS kami.