Pages

Tuesday, May 26, 2009

Produk Terlaris

Sejak kebelakangan ini, produk keluaran Sofaz Enterprise mendapat sambutan amat menggalakkan dari para pelanggan sediada dan baru.

Lebih-lebih lagi bila tiba musim orang kahwin. Sampai ada yang terpaksa ditolak disebabkan tempahan yang terlalu singkat. 

Sambal Tempe Goreng menjadi produk terlaris bulan ini dengan tempahan melebihi jangkaan. 

Tapai ubi menjadi pilihan baru pelanggan yang mahukan kelainan dalam menghidangkan pencuci mulut untuk tetamu mereka. Pelbagai saiz dipesan dan ada juga yang mahukan dibuat secara lambak saja dalam mangkuk besar.

Tapai pulut memang telah dikenali ramai dan sememangnya banyak permintaan terutamanya untuk kenduri.

Tempahan tempe segar agak menurun jika dibandingkan dengan produk lainnya. Walaubagaimanapun, pengeluaran dikilang masih tetap sama pada setiap hari.


Anda juga boleh menempah produk kami melalui nombor telefon/emel yang disediakan. Tempahlah seminggu awal supaya kami sempat untuk memenuhinya. Ianya juga untuk mengelakkan dari sebarang kejadian tidak diingini seperti tak menjadi atau rosak.


-

Friday, May 22, 2009

AWAS : 'Air Ikan Haruan' Bahaya Kepada Kesihatan

SINGAPURA: Pihak berkuasa kesihatan Singapura memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil ubat tradisional dengan label 'Air Ikan Haruan; oleh kerana ia mengandungi bahan perubatan berbahaya yang tidak diisytiharkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) berkata ia telah mengesan dexamethasone, sejenis ubatan barat yang berbahaya dalam perubatan tradisional.

Ia menyatakan dexamethasone adalah dadah preskripsi yang biasa digunakan bagi merawat penyakit radang seperti arthritis.

Air Ikan Haruan’, yang dipakej dalam botol-botol kecil, mendakwa dapat "membersihkan darah kotor, mengurangkan gatal kulit, memulihkan luka dalaman, menambah tenaga, mengurangkan batuk, dan mempertingkat kesihatan ibu selepas bersalin," kata HSA.

Penggunaan dexamethasone secara berterusan dan tanpa penyeliaan boleh menyebabkan reaksi negatif yang serius seperti degupan jantung tidak tetap, peningkatan tekanan darah, kolestrol, gula dalam darah, dan kedatangan haid tidak menentu, kerosakan otot dan tulang, sawan dan gangguan mental dan perasaan.

HSA berkata ubat berkenaan tidak ditemui di kedai runcit tempatan tetapi ia bimbang mungkin ada orang ramai yang membeli produk itu dari seberang laut dan dengan tidak sengaja terdedah kepada bahaya kesihatan yang serius disebabkan oleh produk tercemar itu. - Bernama

Wednesday, May 6, 2009

DDEC Mahu Martabatkan Produk Usahawan PKS


Oleh Melati Mohd Ariff



KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pusat Pembangunan Reka Bentuk Sdn Bhd atau Design Development Centre, ringkasnya DDEC mempunyai visi dan misi yang jelas -- menjadi pusat kecemerlangan ilham kreatif dan menyediakan khidmat reka bentuk menerusi kreativiti dan inovasi.


Matlamatnya ialah untuk muncul sebagai pusat sehenti bagi pembangunan produk dan rekaan terunggul di Malaysia selaras dengan agenda penubuhannya yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sekitar 2006.


Meskipun hanya mula beroperasi pada awal 2008, DDEC kini mempunyai sekitar 50 pelanggan.Kira-kira 60 peratus daripada mereka terdiri daripada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sementara bakinya termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


DDEC ialah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan berdaftar sebagai syarikat sendirian berhad.


"Kami beroperasi dan berfungsi sebagai sebuah syarikat yang bergerak pantas dan mengurangkan kerenah birokrasi. Oleh sebab itu apabila saya mengambil staf, mereka mampu bekerja pada gear lima. "Tiada masa untuk gear satu. DDEC juga bukan tempat untuk berlatih. Kita perlu pantas kerana kita ada misi nasional yang perlu disempurnakan," demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Dr Mohamad Jamil Sulaiman dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.


Anak kelahiran Alor Star, Kedah ini berkhidmat lebih 20 tahun dengan Sirim Berhad sebelum menyertai DDEC. Jawatan terakhir beliau di Sirim ialah Pengurus Besar Kanan Pengurusan Harta dan Teknologi Maklumat (IT).


BANTU SEMUA

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Mohamad Jamil, DDEC mensasarkan semua lapisan usahawan khususnya pengusaha Bumiputera yang terbabit dalam PKS. Mereka ini boleh mendapatkan khidmat nasihat sama ada hanya membuat reka bentuk sehingga kepada prototaip, bantuan pendaftaran Harta Intelek dan mengkomersilkan produk yang dikeluarkan. "Pihak kami juga memberitahu usahawan yang datang bahawa kerajaan menyediakan pelbagai geran untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan. "Ada yang terkejut kerana tidak tahu akan adanya geran yang sedemikian. Ada juga yang tahu tetapi mempunyai masalah untuk mengisi borang. Walau apa pun, kami bersedia membantu jika diperlukan," katanya.Dalam masa yang sama, beliau berkata usahawan digalakkan berusaha sedikit untuk mencari maklumat bagi geran yang boleh dipohon untuk perniagaan mereka. "Jika ada masalah, agensi yang berkenaan boleh membantu. Jika masih perlukan bantuan DDEC, kami akan bantu juga," katanya.


Di samping usahawan, DDEC juga membantu penyelidik di universiti dan juga institut seperti Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Giat Mara yang menurut Dr Mohamad Jamil menghasilkan banyak produk inovasi.DDEC, katanya, akan berusaha mengumpul semua produk yang dihasilkan oleh pihak berkenaan dan memilih yang berpotensi dan mempunyai tambah nilai untuk tujuan komersil.


"Kami akan adakan pameran dan menjemput pelabur datang untuk melihat produk yang mereka berminat untuk dikomersilkan," katanya.



PEMBANGUNAN JENAMA DAN PRODUK

Bagi kebanyakan pengusaha PKS khususnya Bumiputera, pembangunan penjenamaan dan produk dilihat antara masalah utama yang membantutkan perkembangan perniagaan mereka. Mereka juga mungkin kurang memberi perhatian kepada kedua-dua bidang ini kerana kekangan sumber kewangan termasuk untuk membuat prototaip produk.



"Kita perlu akui ada usahawan terutamanya Bumiputera yang berdepan dengan masalah kewangan. Hendak menghasilkan prototaip produk memerlukan belanja yang agak besar kerana ini membabitkan beberapa ujian dan penilaian bagi memastikan produk itu melepasi kriteria yang ditetapkan. "Ada usahawan Bumiputera yang takut hendak mengambil risiko. Kita tak boleh salahkan mereka sebab ada yang terpaksa bermandi peluh untuk mendapatkan walau pun hanya RM50 sehari. Bagaimana hendak mengeluarkan beribu ringgit untuk membuat prototaip? Inilah yang kami hendak bantu," jelasnya.

Menurut Dr Mohamad Jamil, ada juga pengusaha yang datang ke DDEC sudah menghasilkan produk tetapi barangan itu kurang menyerlah sama ada dari segi kualiti atau pun pembungkusan. "Di sinilah peranan DDEC untuk menggilap produk berkenaan bukan sahaja menjadikannya lebih berkualiti tetapi juga lebih praktikal dan mesra alam. Produk yang bagus mesti mempunyai tiga ciri asas ini.

Dari segi pembangunan produk, DDEC berperanan membantu menghasilkan produk sama ada ia idea agensi itu atau ilham usahawan. Beliau menekankan bahawa dalam pembangunan produk, DDEC juga memberi penekanan kepada usahawan supaya mendapatkan pengiktirafan Harta Intelek bagi jaminan produk itu. "Ada kalanya pengusaha menghasilkan sesuatu reka bentuk tetapi tidak mendaftarkannya dengan Harta Intelek. Mereka kemudian akan mempromosikan produk apabila mengambil bahagian dalam pameran. "Tindakan mereka ini memberi ruang kepada pihak lain untuk meniru produk mereka dan akhirnya pihak itu yang akan mengaut keuntungan," jelas Dr Mohamad Jamil.

Justeru, katanya, DDEC akan memberi kefahaman kepada usahawan supaya menitikberatkan soal membuat pendaftaran Harta Intelek dengan MyIPO yang sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM).

BUKA MINDA
Pengusaha Bumiputera boleh berjaya jika mereka dapat menghasilkan produk yang berkualiti dan ini perlu dilakukan secara konsisten. "Perkara lain seperti melatih mereka dalam kemahiran berkomunikasi tak susah sangat. Yang penting kualiti produk yang konsisten dan ini memerlukan pelaburan," tegas Dr Mohamad Jamil.

Di samping itu, katanya, pengusaha Bumiputera juga perlu berfikir ke hadapan dan tidak berpuas hati dalam zon selesa mereka.Sesetengah peniaga atau pengusaha Bumiputera mahu kekal dalam zon selesa mereka. Mereka tak nampak produk mereka boleh jadi produk jutawan!" kata Dr Mohamad Jamil.

Beliau menyentuh faktor pembungkusan yang turut menjejaskan kualiti banyak produk pengusaha bumiputera. "Ada banyak teknologi yang boleh digunakan untuk mengekalkan kesegaran produk serta aromanya. Persoalannya sama ada pengusaha kita ingin melabur untuk teknologi itu atau tidak? "Ini yang kita perlu tekankan kepada mereka. Ada yang tak berani sebab mereka hanya nampak pasaran mereka di sekeliling mereka sahaja. Untuk itu, kita perlu meyakinkan bahawa produk mereka boleh masuk ke pasaran luar, umpamanya Kanada. Kita perlu buka minda mereka," tambahnya, sambil menegaskan beliau mahu melihat usahawan Melayu lebih berjaya.

KERJASAMA LUAR
Sebagai usaha untuk membantu produk pengusaha PKS dapat menembusi pasaran luar negara, DDEC mengorak langkah untuk menjalin kerjasama dengan beberapa agensi antarabangsa. Dr Mohamad Jamil berkata pihaknya setakat ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Japan Industrial Design Promotion Organisation (JIDPO). "JIDPO berperanan mengeluarkan penanda reka bentuk bagus. Jika produk PKS memperoleh penanda reka bentuk bagus ini, produk itu tidak mempunyai masalah untuk dipasarkan di Jepun," kata beliau sambil menjelaskan bahawa pihaknya berunding selama tiga bulan dengan JIDPO sebelum menandatangani MoU berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya juga mendapatkan persetujuan JIDPO untuk menghantar pakar-pakar mereka bagi memberi penerangan antaranya bentuk pembungkusan yang memenuhi standard Jepun. DDEC juga, menurut Dr Mohamad Jamil, merancang untuk menjalin kolaborasi dengan agensi-agensi di Korea (Korea Institute Design Promotion) dan Eropah (Red Dot). "Kami berharap dapat menandatangani MoU dengan mereka ini dalam tempoh tahun ini dan 2010," jelasnya.
Di samping itu, DDEC juga akan mewujudkan kerjasama dengan ahli perniagaan Malaysia yang beroperasi di luar negara untuk tujuan memasarkan produk usahawan tempatan. "Baru-baru ini ada peniaga kita yang berpengkalan di Kanada datang untuk mendapat maklumat produk tempatan yang boleh dipasarkan di negara itu. Kami akan bekerjasama dengan mereka ini kerana mereka sudah tahu asam garam berniaga di negara itu. "Usaha yang sama juga akan dibuat untuk pasaran di United Kingdom dan Timur Tengah. Jika kita hendak pasarkan produk ke luar negara, kita perlu jalinan kerjasama seperti ini," kata Dr Mohamad Jamil.
Beliau berkata pihaknya dalam proses mewujudkan pengkalan data usahawan di negara ini yang meliputi semua bidang. "Pengkalan data usahawan amat penting. Bukan sahaja ia perlu lengkap tetapi mesti terkini. Ini akan memudahkan pihak yang ingin mendapatkan maklumat, sebagai contoh bilangan mereka yang terbabit dalam bidang elektrikal, herba atau kosmetik, " katanya.

KOMUNITI KREATIF
Mewujudkan komuniti kreatif turut menjadi agenda DDEC. Menurut Dr Mohamad Jamil, DDEC akan menganjurkan beberapa program termasuk Pasar Reka Bentuk dan Sudut Kreatif untuk merealisasikan hasrat itu.
Kedua-dua program itu, katanya ialah cetusan ilham mantan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah. Program berkenaan akan diadakan di perkarangan pejabat DDEC di Nombor 22, Jalan Kia Peng di sini. Keseluruhan kawasan yang menempatkan pejabat itu seluas 3.3 hektar.
Sudut Kreatif ketika ini diadakan pada minggu pertama setiap bulan di Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ia dilancarkan kira-kira tiga bulan lalu dan setiap bulan memberi fokus kepada sektor perniagaan tertentu seperti reka bentuk dalaman, herba dan IT.
Menurut Dr Mohamad Jamil, Sudut Kreatif yang bakal diadakan di DDEC bukan sahaja bertujuan mengajak pengusaha menjual produk mereka tetapi pihaknya juga akan mengadakan sesi sumbang saran. Sesi berkenaan, katanya, terbuka untuk usahawan, pelajar atau golongan remaja mengetengahkan idea mereka ke arah menghasilkan produk yang berpotensi. "Menerusi usaha ini, kami berharap dapat menyediakan satu persekitaran yang kreatif bagi melahirkan komuniti yang kreatif. Anak-anak muda kita sememangnya kreatif dan untuk itu kita tidak mengehadkan umur. Mungkin ada remaja berusia 12 tahun yang boleh memberi idea yang bagus.
"Malaysia sebenarnya mempunyai pereka bentuk yang berbakat tetapi kita tidak mencungkil bakat mereka dengan sebaik-baiknya. Ini adalah salah satu agenda kami. Kami hendak menunjukkan bahawa negara kita turut mempunyai pereka bentuk yang berkebolehan," jelas Dr Mohamad Jamil.

IDENTITI MALAYSIA
Beliau berkata DDEC juga bersedia membantu kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) menghasilkan reka bentuk awam yang boleh mewujudkan identiti Malaysia. Fokus awal yang perlu diberi menjurus kepada reka bentuk awam seperti perhentian bas dan teksi termasuk pondok telefon, tiang lampu dan peti surat.

Dr Mohamad Jamil berkata untuk melahirkan reka bentuk Malaysia yang unik, ia memerlukan satu dasar reka bentuk dan tanggungjawab ini terletak di bawah bidang kuasa Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM). "DDEC boleh membantu MRM untuk menghasilkan Dasar Reka Bentuk ini. Kalau ada dasar ini, mudah untuk PBT menguatkuasanya dan sudah tentu dapat melahirkan identiti Malaysia," jelas beliau sambil berkata dasar itu mungkin boleh dibuat secara berperingkat mengikut keutamaannya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai DDEC boleh menghubungi nombor 03-21619002 atau faks 03-2161 9003 atau melayari laman web www.ddec.my -- BERNAMA

Monday, May 4, 2009

Pasar Tani Bergerak Menjelang 2015


SERDANG, 25 April (Bernama) -- Menjelang 2015 penjualan pasar tani akan dibuat secara bergerak dengan menggunakan kenderaan karavan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.


Beliau berkata selain bertujuan menaik taraf pasar tani, langkah itu juga untuk memastikan pengurusan pasar tani lebih tersusun dan bersih."Kementerian juga akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi membenarkan peserta pasar tani bergerak memasuki kawasan-kawasan perumahan untuk menjual produk mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Noh berkata ia sebagai satu langkah untuk membantu meningkatkan hasil jualan peserta pasar tani. Buat masa ini peserta pasar tani digalakkan membeli karavan sendiri dan didapati kebanyakan daripada 15,000 jumlah peserta mampu untuk membelinya."Ini sekaligus membuktikan para peserta pasar tani mempunyai kemampuan kewangan yang baik menerusi peningkatan hasil jualan," katanya.


Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini jualan pasar tani mencecah RM1.4 juta dan jumlah itu dijangka meningkat RM4 juta menjelang hujung tahun ini, kata Noh. - BERNAMA
.