Pages

Showing posts with label usahawan. Show all posts
Showing posts with label usahawan. Show all posts

Tuesday, September 20, 2011

MyAgro Buka Peluang Usahawan Tani


PAMERAN Malaysia Agro atau ringkasnya MyAgro 2011 yang bertemakan Memperkasa AgroBisnes bakal mewarnai dunia usahawan tani di negara ini bermula esok.

MyAgro 2011 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC), Kuala Lumpur bakal berlangsung selama empat hari sehingga Jumaat ini .

Pengerusi Penganjur MyAgro, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata, pameran MyAgro lebih menjurus kepada peluang-peluang perniagaan kepada rantaian usahawan tani bermula daripada awal misalnya pengusaha biji benih sehingga produk sampai kepada pengguna.
"Pertanian bukan hanya tertumpu kepada bercucuk tanam tetapi lebih daripada itu.

"Malahan pertanian bermula dengan pencarian benih atau baka terbaik, baja, racun serangga, racun rumpai, alat bantuan tanaman, menuai, mekanisasi bagi membantu pertanian, pembungkusan, pelabelan, logistik, pusat pengumpulan, pemborong, peruncit dan pengguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ,Datuk Seri Noh Omar dijangka merasmikan pameran tersebut esok.

MyAgro 2011 bakal menjadi tempat pertemuan bagi mengisi kekosongan rantaian dalam bidang pertanian.

Pameran MyAgro yang merupakan inisiatif sektor swasta dengan kerjasama agensi kerajaan, badan penyelidikan, institut pengajian tinggi tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberikan penekanan kepada tiga aspek utama iaitu :

  • Peluang perniagaan yang ada dalam sektor pertanian
  • Potensi pelaburan
  • Produk-produk untuk pengguna seperti konsep fruits, flowers, flavours atau buah bunga dan perisa.

"Pada pameran berkenaan terdapat industri kecil dan sederhana (IKS) yang berpotensi untuk pergi lebih jauh seperti pasaran eksport," katanya.


MyAgro boleh dikatakan sebagai pusat sehenti bagi usahawan tani mendapatkan pelbagai maklumat mengenai perniagaan dalam sektor pertanian.

Mohamed Sharif berkata, MyAgro juga kesinambungan atau mengisi kekosongan semasa Pameran Pertanian Hortikutlur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Walaupun baru kali pertama diperkenalkan, MyAgro mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta IKS serta pedagang.

Terbahagi kepada dua kumpulan, peruncit dan pedagang sehingga kini terdapat 110 orang peserta mengambil bahagian.

Antaranya terdapat syarikat yang memberikan pakej tanaman fertigasi lengkap bagi pengunjung.

Selain itu terdapat juga institusi perbankan yang turut serta bagi memberikan khidmat nasihat mengenai pembiayaan.

"Negara yang mempunyai begitu banyak pekebun kecil perlu melihat peluang yang tersedia bagi membangunkan lagi perniagaannya.

"Transformasi luar bandar dalam pertanian akan terjadi dengan adanya akses kepada kawasan pengeluaran seperti lebuh raya," katanya.

Pada masa yang sama juga di pengunjung boleh menghadiri seminar serta demonstrasi di pameran MyAgro.

Apa yang menarik pembentang kertas kerja terdiri daripada mereka yang terlibat dalam dunia pertanian seperti pensyarah, penyelidik serta usahawan tani dari institut pengajian tinggi, agensi penyelidikan, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta usahawan tani yang penuh dengan pengalaman.

"Usahawan tani mendapat banyak pendedahan dengan menyertai pelbagai pameran yang diadakan.

"Dengan pameran yang diadakan diharap minat generasi muda terhadap sektor pertanian semakin bertambah," katanya.

Setiap kali pameran pasti akan ada perkara baru yang akan diketengahkan misalnya kali ini dalam pameran MyAgro, terdapat gerai yang akan mempamerkan tanaman hiasan yang menyerap toksik di persekitaran.


Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan pendapatan petani kecil yang bergiat dalam bidang nurseri tanaman.

"Malah kajian berkenaan telah disokong dengan kajian oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA)," katanya.

Walaupun baru pertama kali diadakan MyAgro berjaya mendapat penyertaan negara jiran seperti Singapura.

Selain itu ini merupakan masa yang sesuai mempromosikan buah-buahan nadir yang tidak popular dengan penjenamaan semula.

Misalnya, mangga Sala yang tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat menjadi popular di Singapura dengan nama Perlis sunshine manggo.

Pada masa yang sama, produk-produk 1Malaysia Best akan dipamerkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Maklumat lanjut mengenai MyAgro boleh melayari laman web www.myagro.my



Tuesday, August 9, 2011

Mesin Santan Dua Dalam Satu



Pembangunan mesin pintar atau automatik bukan lagi industri baru di negara ini. Dengan perkembangan ini ia membantu industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini melangkau ke tahap lebih tinggi. Seterusnya mendorong kepada pembangunan teknologi industri kampung atau indigenous technology.

Pelbagai pihak sama ada individu atau agensi kerajaan berlumba-lumba mencipta mesin yang dapat membantu pengusaha industri luar bandar.

Satu daripada mesin yang paling popular pada musim perayaan selain mesin membuat kuih ialah memarut atau memerah santan secara otomatik.

Terbaru, sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMap) memulakan penyelidikan pada tahun 2009 untuk membangunkan satu mesin dua dalam satu untuk mengeluarkan santan kelapa.

Mesin yang dibangunkan dengan menggunakan keluli tahan karat sebagai memenuhi syarat asas mesin berkaitan makanan merupakan mesin separa automatik untuk memenuhi keperluan pengusaha IKS.

Menurut ketua kumpulan penyelidik, Azmi Harun, mesin itu direka khas untuk memarut dan memerah isi kelapa secara berkesan.


Katanya, ia sangat berguna bagi mendapatkan santan secara maksimum dengan meningkatkan hasil dalam tempoh yang singkat.

''Konsep mesin ialah gabungan memarut dan memerah santan dalam masa singkat berbandng penggunaan mesin memarut dan memerah secara berasingan,'' katanya.

Mesin dua dalam satu sangat sesuai bagi pengusaha kerana ia meningkatkan produktiviti pengeluaran santan dalam tempoh yang singkat.

Ketika ini kata Azmi, kaedah konvensional membolehkan pengguna menghasilkan santan menggunakan kaedah memarut dan memerah secara berasingan.

''Kaedah ini memerlukan masa yang panjang jika ingin menghasilkan dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Selain itu, kata beliau mereka perlu melakukan dua kerja dalam satu masa itu memarut dan kemudiannya memerah santan.

Sudah tentu ia membazir masa dan ada kemungkinan terdedah kepada kekotoran ketika pengendalian dilakukan.

Azmi memberitahu, dengan menggunakan kombinasi kerja dua dalam satu tentunya menjimatkan masa dan penghasilan lebih pantas dalam tempoh sejam.

Ini dibuktikan dengan ujian dan analisis kerja dijalankan oleh mereka selepas pembangunan badan mesin itu disempurnakan.

Kajian yang dijalankan oleh kumpulannya juga membabitkan perbandingan antara kaedah konvensional yang ada di pasaran dan penggunaan mesin tersebut.

Hasilnya didapati sebanyak 30 kilogram (kg) santan dapat dihasilkan dalam tempoh sejam menggunakan mesin dua dalam satu itu berbanding antara 20 dan 25 kg pengguna kaedah konvensional pada tempoh masa yang sama.

Mesin yang direka menggunakan tali sawat (belt) yang dipasang kepada alat memarut dan skru memerah.


Hanya satu motor elektrik digunakan yang membabitkan satu fasa motor berkuasa 1.5 kuasa kuda dengan kelajuan 1,420 rpm serta penggunaan voltan 240v, 7.3 ampere yang digunakan untuk memindahkan kuasa menggerakkan tali sawat.

Mesin beroperasi menggunakan satu suis untuk bekalan kuasa kepada motor yang diletakkan di bawah mesin.

Kuasa dipindahkan dari motor elektrik kepada kedua-dua alat memarut dan memerah dengan tali sawat jenis V.

Dua tali sawat digunakan iaitu satu daripada motor untuk memusingkan gear yang bersambung dengan skru pemerah dan satu lagi tali sawat dari motor kepada alat pemarut pada bahagian atas mesin.

Fungsi gear berpusing ialah untuk mengurangkan rpm motor elektrik dan mengoperasikan skru pemerah pada bahagian tengah mesin berkenaan.

Mesin juga boleh digunakan secara berasingan sama ada menggunakan pemerah atau pemarut.

Mekanismanya ialah mengubahsuai takal secara manual sama ada menarik atau menolak.

Mekanisme ini direka berdasarkan masalah jika pengguna menggunakan pemarut tetapi masih perlu menghasilkan santan menggunakan alat pemerah.

Mesin perlu dihentikan operasinya sebelum menolak atau menarik takal yang terletak pada motor elektrik secara manual bagi tujuaan mengasingkan operasi kedua-dua fungsi mesin.

Bila memulakan operasi mesin, hanya pemerah sahaja yang akan bergerak manakala pemarut kekal statik.

Sementara itu menurut Azmi, meskipun belum ada di di pasaran, mereka yang berminat boleh menghubunginya untuk berbincang mengenai pembangunan mesin. Tempoh dua minggu diperlukan untuk menyiapkan mesin berkenaan.

'Kumpulan kami masih melakukan penyelidikan ke atas mesin ini bagi tujuan penambahbaikkan. Tetapi sekiranya ada keperluan dari segi saiz kami perlu perbagaikan saiz.


RESEARCH & INNOVATION OFFICE
10 LEVEL, BANGUNAN KWSP,
JALAN BUKIT LAGI, 01000,
KANGAR PERLIS
TEL : 049798729   FAX : 049798039


p/s : kami bukan penjual mesin ini. Cuma menerbitkan semua artikel berguna ini. Harap maklum

Tuesday, June 15, 2010

Felda Sasar Lahirkan 2,000 Usahawan Peneroka

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 2,000 usahawan baru di kalangan warga peneroka menerusi Simposium dan Ekspo Usahawan Felda (Simex 2010) berlangsung sejak 28 Februari lalu.

Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Abidin Abd Rahman, berkata program kali ketiga dianjurkan itu bertujuan mewujudkan rangkaian kerjasama perniagaan, mempromosi produk serta perkhidmatan antara usahawan.


Katanya, Simex 2010 yang bertemakan tema ‘Inovasi Menjana Ekonomi’ diadakan semua 11 wilayah Felda termasuk di Sabah sehingga 30 April ini, berbanding sebelum ini yang dilaksanakan pada peringkat pusat. 

Beliau berkata, penganjuran program itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan masyarakat peneroka yang bersama-sama memaju dan membangunkan aktiviti ekonomi rancangan. 

“Dalam terus mengukuhkan peranan Felda membangunkan usahawan berpotensi dan berdaya maju, Jabatan Pembangunan Usahawan Felda turut diwujudkan sejak 2005 supaya lebih fokus terhadap golongan ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Usahawan Felda, Norhayati Sarif. 
Abidin menambah, Simex 2010 diadakan dengan matlamat menyampaikan maklumat terkini berhubung pembangunan keusahawanan Felda menerusi program se-minar dan pembentangan kerja serta ekspo dan pameran.

Katanya, antara produk industri kecil dan sederhana yang dipamerkan ialah makanan diproses, kraf, makanan segar, perkhidmatan dan perniagaan seperti pakaian dan ubat-ubatan. 

Beliau berkata, menerusi Simex 2010 dan pelbagai strategi pemasaran agresif tahun ini, Felda menyasarkan untuk meningkatkan lebih 36,000 usahawan bukan dalam aktiviti perladangan di bawah bimbingan Felda ketika ini. 

“Purata pendapatan usahawan Felda yang dicatatkan sehingga Februari lalu ialah RM2,046 sebulan. Tahun lalu saja, keseluruhan pendapatan yang dicatatkan ialah kira-kira RM911 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Abidin berkata, Felda melabur lebih RM200 juta bagi membangunkan Kompleks IKS di Felda Chini, Pahang yang dijangka beroperasi awal tahun depan yang membabitkan pemindahan teknologi tinggi, khususnya dalam pemprosesan makanan ringan dan tenunan.

Katanya, Felda turut menyasarkan untuk meningkatkan bilangan usahawan yang dianugerahkan jenama F-Best Foods oleh agensi itu, yang membekalkan produk makanan menerusi cawangan Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) milik Felda dan pasar raya besar.

“Ketika ini, kami mempunyai kira-kira 30 usahawan yang menjual produk makanan menerusi jenama F-Best Foods kerana mempunyai pengeluaran secara konsisten, pembungkusan menarik dan berpotensi untuk jualan,” katanya. 

Beliau berkata, Sawari dilancarkan pada 2003 dengan memberi tumpuan terhadap dua industri utama iaitu industri makanan dan kraf. 

Tumpuan utama pembangunan industri makanan ialah produk makanan diproses di bawah jenama F Best Food, manakala industri kraf di bawah jenama F Best Craft termasuk tekstil dan sebahagiannya dibangunkan di bawah jenama Modern Malaysia.


Monday, April 19, 2010

PANDUAN : Kejayaan Dan Halangan Dalam Perniagaan

KENAPAKAH BERNIAGA??
Ingin hidup mewah, ikut kawan, mewarisi keluarga, & dll

Walau apa pun alasan yang diberikan, proses untuk berjaya di dalam sesuatu bidang perniagaan adalah  tetap sama.

Oleh itu persiapan yang sebaik mungkin perlu dilakukan sebelum membuat keputusan untuk berniaga.

Tanpa  persiapan  yang  lengkap,  kemungkinan  untuk menemui kegagalan  dan  kekecewaan  adalah  terbuka luas.

Kenyataan ini bukan hanya  ditujukan  kepada  para  peniaga  sahaja,  malah  di dalam  semua  aspek penghidupan, kekayaan tidak datang bergolek tetapi hendaklah melalui perancangan yang teratur, perlaksanaan usaha  yang  betul dengan penuh  kesungguhan disertai dengan doa dan tawalkkal yang sempurna.


APAKAH MAKSUD "USAHAWAN”
Pelbagai pihak telah memberikan takrifan yang berbeza.

Peter Drucker  yang digelar " Bapa Pengurusan" barat  di dalam  bukunya  Enterprenuership (1996)  mendifinisikan usahawan  sebagai  seorang   yang   berupaya  memindahkan  sumber  ekonomi  dari   sektor  yang   kurang  upaya produktivitinya  ke sektor yang lebih tinggi daya produktivitinya.

Dr Joel Barker  pula  di dalam   bukunya  Paradigm  (1994)  pula   mendifinisikan   usahawan  sebagai  orang  yang mewujudkan nilai  tambah  ke dalam pasaran.    (  Dipetik  dari  buku   KEUSAHAWANAN  &  PERNIAGAAN karangan  Dr Barjoyai Bardai, 2000)

Dr Barjoyai Bardai di dalam bukunya, bahagian 1 telah  menerangkan  ciri-ciri  yang  terdapat   di antara  pengurus, peniaga dan usahawan. Beliau telah menerangkan seerti berikut :

PENGURUS ialah  orang  yang   menguruskan   perniagaan  bagi    pihak  pemilik   perniagaan. 

Walaupun   dia bertanggungjawab terhadap keseluruhan perniagaan namun begitu sebenarnya dia hanyalah pegawai  yang  bekerja          dengan pemilik perniagaan tersebut.  Di sini  yang paling  penting  ialah  pengurus  tidak   perlu   memberikan modal dalam  perniagaan  dan juga tidak menanggung risiko perniagaan.

PENIAGA ialah orang yang menjalankan perniagaan dan melakukan urusan jualbeli barang-barang dan perkhidmatan.

Peniaga biasanya menumpukan perhatiannya kepada sesuatu perniagaan yang khusus. Peniaga juga biasanya menghadkan perhatiannya kepada satu-satu jenis perniagaan sahaja. Contoh perniagaan seperti  kedai runcit,  gerai makan,  kedai dobi dan sebagainya. Golongan profesional seperti doktor swasta juga boleh termasuk di dalam golongan ini.

USAHAWAN  pula  ialah  orang yang lebih  berpandangan  luas  dalam  sesuatu perniagaan.  Dia  sentiasa meninjau dan mencari peluang-peluang perniagaan. Usahawan mempunyai keistimewaan yang membolehkannya  mewujudkan  peluang pelaburan dan mengenalpasti projek-projek yang dianggap menguntungkan.


KEJAYAAN DAN HALANGAN
Untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, persiapan perlu disediakan. Antara persiapan-persiapan yang perlu disediakan
sebelum seseorang usahawan menceburi bidang keusahawanan mengikut keutamaan ialah seperti berikut :-

PERWATAKAN DIRI (SIFAT-SIFAT KEUSAHAWANAN)
i.                    Jujur, Amanah, Berdisiplin Dan Bertanggungjawab.
ii.                  Berani dan Tabah
iii.                Rendah diri dan Tidak Sombong
iv.               Sentiasa bersedia untuk belajar dan mendengar daripada orang lain
v.                 Kemampuan berkomunikasi dengan baik.
vi.               Sangka baik terhadap orang lain dan berfikiran positif.
vii.             Berhati-hati
viii.           Proaktif
ix.               Berfikir sebelum bertindak
x.                 Sentiasa berusaha mewujudkan suasana yang menguntungkan kepada semua pihak yang terlibat (establish a win-win situasion)


PENGETAHUAN
Pengetahuan tentang operasi perniagaan . Setiap usahawan  hendaklah  mengetahui secara mendalam aspek operasi perniagaan yang beliau ingin ceburi terlebih dahulu. Sekiranya beliau ingin menjalankan perniagaan jual beli perkakas aksesories kereta, beliau  hendaklah  mengetahui  tentang  aspek harga, jenis produk,, pembekal dan pelanggan yang akan berurusan dengannya. Begitu juga beliau perlu tahu tentang kekuatan dan kelemahan yang  terdapat  di dalam  bidang  perniagaan tersebut.  Beliau  harus mampu untuk mengendalikan dan menjalankan dengan sendiri sebarang perniagaan yang beliau ceburi.


Pengetahuan Mengenai Pengurusan

Mengendalikan pembantu serta pekerja dengan baik.

Mengendalikan urusan kewangan serta perakaunan dengan cekap.

Menyediakan sistem pengurusan yang mengikut undang-undang negara dengan sempurna.


Pengetahuan Agama Mengenai Perniagaan
                         

MODAL KEWANGAN/PEMBIYAAN
Bank komersil, MARA, MIDF, SMEDEC, CGC, Syarikat Kewangan, Simpanan Sendiri, Keluarga, Kawan-Kawan Pelabur / Rakan Kongsi DLL...



FAKTOR-FAKTOR LUARAN PELUANG DAN HALANGAN
Globalisasi dan liberisasi di bawah AFTA & WTO.

AFTA :- Kita  mempunyai  peluang cerah  kerana pasaran yang  luas  yang  mana jumlah rakyat  / pengguna seramai lebih kurang 510 juta.
Negara kita mempunyai infrastruktur yang baik seperti KLIA, Pelabuhan, CYBERjaya  yang  menempatkan pejabat   antarabangsa  yang  menggunakan  sistem  IT  yang canggih.  Lebuhraya  yang baik,  memudahkan pergerakan laluan darat.


Halangan :- Persaingan yang hebat dalam pasaran kerana semua  negara  Asean  berebut  memasuki  pasaran Asean dengan penawaran yang kompetatif. Kos buruh kita yang tinggi yang memungkinkan  kita  kalah  dari harga.





Wednesday, May 6, 2009

DDEC Mahu Martabatkan Produk Usahawan PKS


Oleh Melati Mohd Ariff



KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pusat Pembangunan Reka Bentuk Sdn Bhd atau Design Development Centre, ringkasnya DDEC mempunyai visi dan misi yang jelas -- menjadi pusat kecemerlangan ilham kreatif dan menyediakan khidmat reka bentuk menerusi kreativiti dan inovasi.


Matlamatnya ialah untuk muncul sebagai pusat sehenti bagi pembangunan produk dan rekaan terunggul di Malaysia selaras dengan agenda penubuhannya yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sekitar 2006.


Meskipun hanya mula beroperasi pada awal 2008, DDEC kini mempunyai sekitar 50 pelanggan.Kira-kira 60 peratus daripada mereka terdiri daripada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sementara bakinya termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


DDEC ialah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan berdaftar sebagai syarikat sendirian berhad.


"Kami beroperasi dan berfungsi sebagai sebuah syarikat yang bergerak pantas dan mengurangkan kerenah birokrasi. Oleh sebab itu apabila saya mengambil staf, mereka mampu bekerja pada gear lima. "Tiada masa untuk gear satu. DDEC juga bukan tempat untuk berlatih. Kita perlu pantas kerana kita ada misi nasional yang perlu disempurnakan," demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Dr Mohamad Jamil Sulaiman dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.


Anak kelahiran Alor Star, Kedah ini berkhidmat lebih 20 tahun dengan Sirim Berhad sebelum menyertai DDEC. Jawatan terakhir beliau di Sirim ialah Pengurus Besar Kanan Pengurusan Harta dan Teknologi Maklumat (IT).


BANTU SEMUA

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Mohamad Jamil, DDEC mensasarkan semua lapisan usahawan khususnya pengusaha Bumiputera yang terbabit dalam PKS. Mereka ini boleh mendapatkan khidmat nasihat sama ada hanya membuat reka bentuk sehingga kepada prototaip, bantuan pendaftaran Harta Intelek dan mengkomersilkan produk yang dikeluarkan. "Pihak kami juga memberitahu usahawan yang datang bahawa kerajaan menyediakan pelbagai geran untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan. "Ada yang terkejut kerana tidak tahu akan adanya geran yang sedemikian. Ada juga yang tahu tetapi mempunyai masalah untuk mengisi borang. Walau apa pun, kami bersedia membantu jika diperlukan," katanya.Dalam masa yang sama, beliau berkata usahawan digalakkan berusaha sedikit untuk mencari maklumat bagi geran yang boleh dipohon untuk perniagaan mereka. "Jika ada masalah, agensi yang berkenaan boleh membantu. Jika masih perlukan bantuan DDEC, kami akan bantu juga," katanya.


Di samping usahawan, DDEC juga membantu penyelidik di universiti dan juga institut seperti Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Giat Mara yang menurut Dr Mohamad Jamil menghasilkan banyak produk inovasi.DDEC, katanya, akan berusaha mengumpul semua produk yang dihasilkan oleh pihak berkenaan dan memilih yang berpotensi dan mempunyai tambah nilai untuk tujuan komersil.


"Kami akan adakan pameran dan menjemput pelabur datang untuk melihat produk yang mereka berminat untuk dikomersilkan," katanya.



PEMBANGUNAN JENAMA DAN PRODUK

Bagi kebanyakan pengusaha PKS khususnya Bumiputera, pembangunan penjenamaan dan produk dilihat antara masalah utama yang membantutkan perkembangan perniagaan mereka. Mereka juga mungkin kurang memberi perhatian kepada kedua-dua bidang ini kerana kekangan sumber kewangan termasuk untuk membuat prototaip produk.



"Kita perlu akui ada usahawan terutamanya Bumiputera yang berdepan dengan masalah kewangan. Hendak menghasilkan prototaip produk memerlukan belanja yang agak besar kerana ini membabitkan beberapa ujian dan penilaian bagi memastikan produk itu melepasi kriteria yang ditetapkan. "Ada usahawan Bumiputera yang takut hendak mengambil risiko. Kita tak boleh salahkan mereka sebab ada yang terpaksa bermandi peluh untuk mendapatkan walau pun hanya RM50 sehari. Bagaimana hendak mengeluarkan beribu ringgit untuk membuat prototaip? Inilah yang kami hendak bantu," jelasnya.

Menurut Dr Mohamad Jamil, ada juga pengusaha yang datang ke DDEC sudah menghasilkan produk tetapi barangan itu kurang menyerlah sama ada dari segi kualiti atau pun pembungkusan. "Di sinilah peranan DDEC untuk menggilap produk berkenaan bukan sahaja menjadikannya lebih berkualiti tetapi juga lebih praktikal dan mesra alam. Produk yang bagus mesti mempunyai tiga ciri asas ini.

Dari segi pembangunan produk, DDEC berperanan membantu menghasilkan produk sama ada ia idea agensi itu atau ilham usahawan. Beliau menekankan bahawa dalam pembangunan produk, DDEC juga memberi penekanan kepada usahawan supaya mendapatkan pengiktirafan Harta Intelek bagi jaminan produk itu. "Ada kalanya pengusaha menghasilkan sesuatu reka bentuk tetapi tidak mendaftarkannya dengan Harta Intelek. Mereka kemudian akan mempromosikan produk apabila mengambil bahagian dalam pameran. "Tindakan mereka ini memberi ruang kepada pihak lain untuk meniru produk mereka dan akhirnya pihak itu yang akan mengaut keuntungan," jelas Dr Mohamad Jamil.

Justeru, katanya, DDEC akan memberi kefahaman kepada usahawan supaya menitikberatkan soal membuat pendaftaran Harta Intelek dengan MyIPO yang sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM).

BUKA MINDA
Pengusaha Bumiputera boleh berjaya jika mereka dapat menghasilkan produk yang berkualiti dan ini perlu dilakukan secara konsisten. "Perkara lain seperti melatih mereka dalam kemahiran berkomunikasi tak susah sangat. Yang penting kualiti produk yang konsisten dan ini memerlukan pelaburan," tegas Dr Mohamad Jamil.

Di samping itu, katanya, pengusaha Bumiputera juga perlu berfikir ke hadapan dan tidak berpuas hati dalam zon selesa mereka.Sesetengah peniaga atau pengusaha Bumiputera mahu kekal dalam zon selesa mereka. Mereka tak nampak produk mereka boleh jadi produk jutawan!" kata Dr Mohamad Jamil.

Beliau menyentuh faktor pembungkusan yang turut menjejaskan kualiti banyak produk pengusaha bumiputera. "Ada banyak teknologi yang boleh digunakan untuk mengekalkan kesegaran produk serta aromanya. Persoalannya sama ada pengusaha kita ingin melabur untuk teknologi itu atau tidak? "Ini yang kita perlu tekankan kepada mereka. Ada yang tak berani sebab mereka hanya nampak pasaran mereka di sekeliling mereka sahaja. Untuk itu, kita perlu meyakinkan bahawa produk mereka boleh masuk ke pasaran luar, umpamanya Kanada. Kita perlu buka minda mereka," tambahnya, sambil menegaskan beliau mahu melihat usahawan Melayu lebih berjaya.

KERJASAMA LUAR
Sebagai usaha untuk membantu produk pengusaha PKS dapat menembusi pasaran luar negara, DDEC mengorak langkah untuk menjalin kerjasama dengan beberapa agensi antarabangsa. Dr Mohamad Jamil berkata pihaknya setakat ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Japan Industrial Design Promotion Organisation (JIDPO). "JIDPO berperanan mengeluarkan penanda reka bentuk bagus. Jika produk PKS memperoleh penanda reka bentuk bagus ini, produk itu tidak mempunyai masalah untuk dipasarkan di Jepun," kata beliau sambil menjelaskan bahawa pihaknya berunding selama tiga bulan dengan JIDPO sebelum menandatangani MoU berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya juga mendapatkan persetujuan JIDPO untuk menghantar pakar-pakar mereka bagi memberi penerangan antaranya bentuk pembungkusan yang memenuhi standard Jepun. DDEC juga, menurut Dr Mohamad Jamil, merancang untuk menjalin kolaborasi dengan agensi-agensi di Korea (Korea Institute Design Promotion) dan Eropah (Red Dot). "Kami berharap dapat menandatangani MoU dengan mereka ini dalam tempoh tahun ini dan 2010," jelasnya.
Di samping itu, DDEC juga akan mewujudkan kerjasama dengan ahli perniagaan Malaysia yang beroperasi di luar negara untuk tujuan memasarkan produk usahawan tempatan. "Baru-baru ini ada peniaga kita yang berpengkalan di Kanada datang untuk mendapat maklumat produk tempatan yang boleh dipasarkan di negara itu. Kami akan bekerjasama dengan mereka ini kerana mereka sudah tahu asam garam berniaga di negara itu. "Usaha yang sama juga akan dibuat untuk pasaran di United Kingdom dan Timur Tengah. Jika kita hendak pasarkan produk ke luar negara, kita perlu jalinan kerjasama seperti ini," kata Dr Mohamad Jamil.
Beliau berkata pihaknya dalam proses mewujudkan pengkalan data usahawan di negara ini yang meliputi semua bidang. "Pengkalan data usahawan amat penting. Bukan sahaja ia perlu lengkap tetapi mesti terkini. Ini akan memudahkan pihak yang ingin mendapatkan maklumat, sebagai contoh bilangan mereka yang terbabit dalam bidang elektrikal, herba atau kosmetik, " katanya.

KOMUNITI KREATIF
Mewujudkan komuniti kreatif turut menjadi agenda DDEC. Menurut Dr Mohamad Jamil, DDEC akan menganjurkan beberapa program termasuk Pasar Reka Bentuk dan Sudut Kreatif untuk merealisasikan hasrat itu.
Kedua-dua program itu, katanya ialah cetusan ilham mantan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah. Program berkenaan akan diadakan di perkarangan pejabat DDEC di Nombor 22, Jalan Kia Peng di sini. Keseluruhan kawasan yang menempatkan pejabat itu seluas 3.3 hektar.
Sudut Kreatif ketika ini diadakan pada minggu pertama setiap bulan di Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ia dilancarkan kira-kira tiga bulan lalu dan setiap bulan memberi fokus kepada sektor perniagaan tertentu seperti reka bentuk dalaman, herba dan IT.
Menurut Dr Mohamad Jamil, Sudut Kreatif yang bakal diadakan di DDEC bukan sahaja bertujuan mengajak pengusaha menjual produk mereka tetapi pihaknya juga akan mengadakan sesi sumbang saran. Sesi berkenaan, katanya, terbuka untuk usahawan, pelajar atau golongan remaja mengetengahkan idea mereka ke arah menghasilkan produk yang berpotensi. "Menerusi usaha ini, kami berharap dapat menyediakan satu persekitaran yang kreatif bagi melahirkan komuniti yang kreatif. Anak-anak muda kita sememangnya kreatif dan untuk itu kita tidak mengehadkan umur. Mungkin ada remaja berusia 12 tahun yang boleh memberi idea yang bagus.
"Malaysia sebenarnya mempunyai pereka bentuk yang berbakat tetapi kita tidak mencungkil bakat mereka dengan sebaik-baiknya. Ini adalah salah satu agenda kami. Kami hendak menunjukkan bahawa negara kita turut mempunyai pereka bentuk yang berkebolehan," jelas Dr Mohamad Jamil.

IDENTITI MALAYSIA
Beliau berkata DDEC juga bersedia membantu kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) menghasilkan reka bentuk awam yang boleh mewujudkan identiti Malaysia. Fokus awal yang perlu diberi menjurus kepada reka bentuk awam seperti perhentian bas dan teksi termasuk pondok telefon, tiang lampu dan peti surat.

Dr Mohamad Jamil berkata untuk melahirkan reka bentuk Malaysia yang unik, ia memerlukan satu dasar reka bentuk dan tanggungjawab ini terletak di bawah bidang kuasa Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM). "DDEC boleh membantu MRM untuk menghasilkan Dasar Reka Bentuk ini. Kalau ada dasar ini, mudah untuk PBT menguatkuasanya dan sudah tentu dapat melahirkan identiti Malaysia," jelas beliau sambil berkata dasar itu mungkin boleh dibuat secara berperingkat mengikut keutamaannya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai DDEC boleh menghubungi nombor 03-21619002 atau faks 03-2161 9003 atau melayari laman web www.ddec.my -- BERNAMA

Monday, May 4, 2009

Pasar Tani Bergerak Menjelang 2015


SERDANG, 25 April (Bernama) -- Menjelang 2015 penjualan pasar tani akan dibuat secara bergerak dengan menggunakan kenderaan karavan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.


Beliau berkata selain bertujuan menaik taraf pasar tani, langkah itu juga untuk memastikan pengurusan pasar tani lebih tersusun dan bersih."Kementerian juga akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi membenarkan peserta pasar tani bergerak memasuki kawasan-kawasan perumahan untuk menjual produk mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Noh berkata ia sebagai satu langkah untuk membantu meningkatkan hasil jualan peserta pasar tani. Buat masa ini peserta pasar tani digalakkan membeli karavan sendiri dan didapati kebanyakan daripada 15,000 jumlah peserta mampu untuk membelinya."Ini sekaligus membuktikan para peserta pasar tani mempunyai kemampuan kewangan yang baik menerusi peningkatan hasil jualan," katanya.


Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini jualan pasar tani mencecah RM1.4 juta dan jumlah itu dijangka meningkat RM4 juta menjelang hujung tahun ini, kata Noh. - BERNAMA
.