Pages

Showing posts with label pasar tani. Show all posts
Showing posts with label pasar tani. Show all posts

Tuesday, July 26, 2011

95 Pasar Tani Khas Dibuka Sempena Ramadan


PUTRAJAYA - Sebanyak 95 Pasar Tani Khas akan dibuka di seluruh negara sempena bulan Ramadan ini bagi memastikan pengguna memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dengan harga berpatutan. 

Menteri Pertanian dan Industri Asa Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, 40 pasar tani khas tambahan sementara akan turut dibuka di 40 lokasi terutama di Lembah Klang dan di bandar-bandar besar. 

Beliau berkata pasar tani itu akan menawarkan barangan segar dengan harga 10 hingga 15 kali lebih murah berbanding barangan di tempat lain. 

Noh turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan kerjasama kepada permohonan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk membuka pasar tani tambahan itu. 

“Di Selangor saya difahamkan Fama belum mendapat kelulusan daripada PBT. Jadi saya minta PBT di Selangor dapat memberikan kerjasama kerana ia membolehkan pengguna mendapatkan barangan dengan harga yang murah,” katanya selepas melancarkan Pasar Tani Khas Aidilfitri di sini semalam. 

Noh berkata, Fama dan agensi-agensi berkaitan akan memastikan bekalan makanan untuk musim perayaan ini mencukupi terutama ayam dan kelapa. 

"Terdapat 458 pasar tani seluruh negara dengan 21,026 usahawan sehingga Jun lepas," katanya. -Bernama

Monday, February 22, 2010

FAMA Selangor Sasar Peniaga Tani Guna Karavan Bertambah


SHAH ALAM, 22 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor mensasarkan peniaga pasar tani yang menggunakan karavan bertambah kepada 30 orang pada tahun ini daripada 10 sekarang.

Pengarah FAMA Selangor, Rohizad Ridzwan berkata dalam usaha membantu pihaknya akan membawa mereka berniaga ke pasar tani dan pasar malam di Lembah Klang.

Katanya, FAMA telah menjalin persefahaman dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya peniaga pasar tani diberi peluang untuk berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada setiap Sabtu malam.

"Selain itu, peniaga karavan ini akan juga dibawa berniaga di pasar-pasar tani seperti di Putrajaya dan Taman Melawati," katanya kepada BERNAMA.

Karavan ialah lori satu tan yang diubah suai dan mempunyai bumbung dan rak peragaan barangan jualan serta dindingnya boleh dijadikan papan iklan untuk menarik pelanggan.

Berniaga dengan menggunakan karavan sejak 2008, Ahmad Tarmizi Khalid, 52, berkata beliau mendapati bahawa cara demikian amat sesuai kerana tidak perlu punggah memunggah barangan jualan yang sudah teratur.

Menurut Ahmad, dengan menggunakan karavan beliau boleh memasarkan produk-produk jualannya sehingga ke tempat yang lebih jauh, termasuk Perak.

Manakala, peniaga karavan tunggal wanita, Kamariah Said, 38, pula berkata sebenarnya tidak banyak halangan untuk berniaga kuih-muih tradisional asalkan mereka memiliki lesen GDL (Lesen Memandu Kenderaan Barang-Barang).

Monday, May 4, 2009

Pasar Tani Bergerak Menjelang 2015


SERDANG, 25 April (Bernama) -- Menjelang 2015 penjualan pasar tani akan dibuat secara bergerak dengan menggunakan kenderaan karavan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar.


Beliau berkata selain bertujuan menaik taraf pasar tani, langkah itu juga untuk memastikan pengurusan pasar tani lebih tersusun dan bersih."Kementerian juga akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi membenarkan peserta pasar tani bergerak memasuki kawasan-kawasan perumahan untuk menjual produk mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Noh berkata ia sebagai satu langkah untuk membantu meningkatkan hasil jualan peserta pasar tani. Buat masa ini peserta pasar tani digalakkan membeli karavan sendiri dan didapati kebanyakan daripada 15,000 jumlah peserta mampu untuk membelinya."Ini sekaligus membuktikan para peserta pasar tani mempunyai kemampuan kewangan yang baik menerusi peningkatan hasil jualan," katanya.


Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini jualan pasar tani mencecah RM1.4 juta dan jumlah itu dijangka meningkat RM4 juta menjelang hujung tahun ini, kata Noh. - BERNAMA
.