Makanan seimbang amat penting
untuk kesihatan kita. Para doktor pemakanan/diet selalu menyuruh kita
mengamalkan makanan seimbang dan bersenam untuk kekalkan kesihatan atau
mengembalikan kesihatan kita yang sudah terjejas.
Kita perlu mengambil makanan
seimbang agar kita mendapat zat-zat dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita
untuk kekalkan kesihatan atau memulih tahap kesihatan yang sudah menurun atau
terjejas.
Dapatkah kita mengamalkan
pemakanan atau diet seimbang seperti yang disarankan?
Cuba kita analisa pola
pemakanan semasa hari berkerja untuk lihat sama ada kita dapat memenuhi
keperluan tersebut:
Sarapan: Nasi/bihun goreng +
telor goreng/ayam goreng atau nasi lemak dengan telur goreng/kerang/paru
goreng/sotong/sambal ikan bilis.
Makan tengahari: Nasi dengan
satu jenis sayur + 1 ekor ikan/1 ketul ayam/1 senduk daging. Buah? Selalunya
tidak dijual di kantin, kalau bernasib baik dapatlah tembikai, betik, nenas atau
tembikai susu. Kalau ada, ambillah sepotong.
Makan malam di rumah, tiada
banyak bezanya. Nasi bersama satu/dua jenis lauk dan satu jenis sayur.
Kadang-kadang takde sayur.
Nampaknya pola pemakanan
harian kita tidaklah memenuhi keperluan pemakanan seimbang.
Menurut garis panduan pemakanan
Kementerian Kesihatan (rujuk grafik piramid makanan di atas), kita perlu makan
4-8 hidangan bijirin seperti nasi, gandum, jagung. Boleh juga ambil ubi.
Sekurang-kurangnya setengah dari bijirin yang diambil mestilah bijirin penuh;
kalau nasi – beras coklat, kalau roti – dari gandum penuh.
Nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bila
masak nasi, campurkan beras putih dengan beras coklat 50-50. Kalau tak nak, 50%
dari karbohidrat kita mestilah dari roti/makanan yang diperbuat dari gandum
penuh.
Kita juga perlu ambil
sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur-sayuran atau 2 hidangan buah-buahan.
Makanan ini dikaitkan dengan pengurangan risiko mendapat diabetes jenis 2,
tekanan darah tinggi, sakit jantung dan kanser. Garis panduan tersebut juga
menasihatkan kita supaya mengambil daging, makanan laut dan ikan secara
sederhana. kita dinasihatkan supaya lebih memakan ikan. Hasil tenusu – 1 hingga
3 hidangan sehari.
Garam, gula, minyak dan
lemak? Semua orang tahu, kena kurangkan. Tapi kalau dah makan di luar (kat
warung atau restoran), banyak mana mereka letak kita pun tak tahu. Yang
pasti, bukan sedikitlah.
Kalau hari-hari makan di kantin tempat kerja, atau makan di luar, nampaknya tak dapatlah kita amalkan makanan seimbang. Kenalah bawa bekal dari rumah. Kalau tak boleh juga penuhi keperluan makanan seimbang, dan masih ingin kekalkan kesihatan yang unggul, kenalah ambil pemakanan tambahan.
BMI (Body Mass Index) atau Indeks Jisim Tubuh merupakan satu piawai pengukuran bagi menentukan berat badan yang unggul. Secara amnya, seseorang yang tergolong dalam kategori terlalu gemuk atau obes akan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung, darah inggi dan kencing manis.
Guna link ini untuk lihat kadar BMI anda : http://jknns.moh.gov.my/bmi.html