Pages

Tuesday, March 24, 2009

Tapai Jadi Sumber Rezeki


ALOR STAR 13 Okt. - Tapai merupakan sejenis makanan tradisional popular di kalangan penduduk Malaysia sehinggakan makanan itu boleh didapati di hotel-hotel bertaraf lima bintang di negara ini.

Tidak semua orang dapat menghasilkan tapai yang manis kerana pembuatannya yang rumit dan penuh dengan 'pantang larang' perlu diikuti bagi menghasilkan tapai enak dan tidak masam.

Bagi seorang pengusaha tapai, Siti Fatimah Ahmad, 33, resipi membuat tapai yang diperoleh daripada ibu mertuanya sejak berumur 17 tahun sentiasa diikuti bagi memastikan tapai yang dihasilkan memenuhi kehendak pelanggan.

"Saya berkahwin pada umur 17 tahun dan hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai tukang rumah.

"Ibu mertua saya memang mahir membuat tapai dan saya terus belajar membuat tapai sehingga berjaya menghasilkan tapai yang manis," ujarnya ketika di temui di sini baru-baru ini.

Menurut Siti Fatimah, pada mulanya dia hanya menghasilkan 40 keping tapai dan dihantar ke kedai-kedai yang berhampiran rumahnya.

"Saya sungguh gembira apabila tapai yang dihantar habis di jual dan terus menambah bilangan tapai yang dibuat setiap hari.

"Kini jumlah tapai yang dijual setiap hari menjangkau sehingga 2 ribu bungkus dan selalunya habis dijual dalam tempoh yang singkat dan saya boleh mendapat keuntungan melebihi RM1,000," katanya.

Siti Fatimah memberitahu, antara bahan-bahan asas yang diperlukan untuk membuat tapai ialah pulut susu, sedikit gula, ragi dan daun pisang untuk membungkus pulut dan ragi berkenaan.

"Ketiga-tiga bahan ini (pulut susu, gula dan ragi) hendaklah dicampurkan sehingga sebati dan kemudiannya dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun pisang.

"Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam tempayan yang besar dan ditutup dengan kain dan setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai akan masak dan barulah boleh dimakan," jelasnya.

Ujarnya, tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai itu boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.

Kata Siti Fatimah, banyak 'pantang larang' yang perlu diikuti apabila hendak membuat tapai yang sedap dan manis.

Sebagai contoh, katanya, apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau dekat dengan benda-benda yang berwarna merah.

Jika pantang larang itu dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.

Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama. Tempoh masanya adalah lebih kurang dalam dua hari sahaja.

Kerana rasanya yang manis, biasanya ia sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.
_

No comments: