Pages

Showing posts with label sofaz. Show all posts
Showing posts with label sofaz. Show all posts

Monday, December 6, 2010

2.66 juta Orang Kunjungi Pameran MAHA 2010


SERDANG - Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 yang berakhir petang semalam mencatat rekod baru apabila menerima 2.66 juta pengunjung sejak ia bermula pada 26 November lalu.
Pameran yang diadakan di tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini turut menyaksikan jualan semasa yang diperoleh berjumlah RM23.5 juta meningkat sekali ganda berbanding penganjurannya dua tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, prestasi MAHA tahun ini meningkat berbanding MAHA 2008 yang menerima kunjungan seramai 1.2 juta orang, manakala hasil jualan pada tahun itu sebanyak RM9.69 juta.
Katanya, pada pameran kali ini, kerjasama perniagaan berjumlah RM153 juta telah dimeterai berbanding RM133 juta dua tahun lalu.
"Kita nampak berlaku peningkatan cukup memberangsangkan pada penganjuran MAHA 2010 termasuk bilangan gerai meningkat kepada 2,502 gerai berbanding 1,197 gerai pada MAHA 2008.
"Terdapat juga peningkatan terhadap pertanyaan perdagangan sebanyak 184,331 berbanding 155,000 dua tahun lalu. Ini menunjukkan pameran yang diadakan dua kali setahun ini semakin dikenali dan mendapat perhatian ramai," katanya semasa sidang akhbar pada majlis Penutup MAHA 2010 di sini semalam.
Tempevstapaiubi : 2 objektif penting iaitu mengutip seberapa banyak maklumat, flyers, kad bisnes dan mencari rangkaian rakan niaga telah tercapai namun akibat pengalaman dalam bidang pemasaran yang masih kurang, flyers 2000 keping pun tak habis diedarkan kepada pengunjung dan usahawan. Insya-ALLAH 2 tahun lagi strategi lebih ampuh akan dibuat. Apa-apapun terima kasih kepada pengunjung yang sudi singgah ke gerai IKS kami.

Monday, November 29, 2010

Projek Ubi Kayu Kasava Diperluas


SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, akan memperluaskan tanaman ubi kayu kasava ke seluruh negara bagi membantu penduduk luar bandar meningkatkan pendapatan dan ini selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya aktiviti ekonomi penduduk dipelbagaikan.


Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ketika ini projek perintis tanaman menjadi bahan mentah untuk menghasilkan barangan plastik, gam serta palet makanan ternakan itu dijalankan di Kedah dan Perak.
Beliau berkata, selepas meneliti keberkesanan projek perintis itu membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat, unit khas kementeriannya akan mengkaji untuk memperluaskan tanaman itu ke seluruh negara. 

"Penanaman ubi kayu kasava ini dikenal pasti antara kegiatan ekonomi desa yang mampu membantu menjana ekonomi rakyat kerana hasil tanaman itu boleh dituai dalam jangka masa singkat, berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit. 

"Kos penanaman ubi kayu kasava juga rendah dan ia tidak memerlukan baja yang banyak selain penjagaannya mudah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek naik taraf jalan Kampung Panchor, di Dewan Kampung Bedega, Serian, di sini, semalam. 

Projek jalan bernilai RM22.8 juta yang memberi manfaat kepada penduduk di sembilan kampung itu siap sepenuhnya Ogos lalu. 
Selain projek jalan berkenaan, Mohd Shafie, turut merasmikan projek bekalan elektrik luar bandar (BELB) di Kampung Pridan, Serian bernilai RM5.52 juta serta menyerahkan kunci kepada 30 penerima program bantuan rumah (PBR) di Siburan bernilai RM1.2 juta. 

Mohd Shafie berkata, permintaan terhadap ubi kayu kasava kini amat tinggi dan beliau berharap projek perintis yang dilaksanakan di Kedah dan Perak, akan membuka peluang ekonomi baru kepada masyarakat luar bandar di seluruh negara. 

Sementara itu, mengenai pelaksanaan projek pembangunan luar bandar menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Mohd Shafie, berkata setakat ini semua projek berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2012. 

Beliau berkata, sehingga Oktober lalu, sepanjang 160.2 kilometer daripada 751.93 kilometer jalan luar bandar yang dirancang menerusi projek NKRA sudah disiapkan, manakala bekalan air bersih pula sudah disediakan di 49,252 unit rumah. Kementerian mensasarkan 70,181 unit rumah luar bandar di seluruh negara menikmati bekalan air bersih menjelang 2012. 

Bagi bekalan elektrik luar bandar pula, sehingga kini, sebanyak 5,911 daripada 25,312 unit rumah sudah menerimanya, manakala bagi program bantuan rumah pula, sebanyak 7,195 unit daripada 16,626 unit yang dirancang, berjaya disiapkan.