Pages

Showing posts with label meias. Show all posts
Showing posts with label meias. Show all posts

Wednesday, August 12, 2009

bazaar@maeps Di Tapak MAHA Serdang Tarikan Pelancung

Pelbagai aktiviti setiap hujung minggu buktikan tapak Maha bukan 'projek gajah putih'

Free Image Hosting

TIADA lagi gelaran 'padang jarak padang terkukur'. Taman Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) seluas hampir 25 hektar sebagai tapak kekal Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) di Serdang, Selangor sudah terisi dengan pelbagai aktiviti menarik, khususnya pada setiap hujung minggu.

Jika sebelum ini, ada yang beranggapan projek Maeps yang membabitkan pelaburan RM250 juta serta menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa untuk kegiatan Maha hanya sebagai ‘projek gajah putih’, namun telahan itu silap sama sekali.

Atas usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan badan bukan kerajaan (NGO), kawasan berkenaan tidak malap sebaik saja tirai Maha berlabuh, sebaliknya ia dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.

Sejak November tahun lalu, pelbagai acara disediakan antaranya, membabitkan Agro Hunt, Kelab Tani Sekolah, Kelab Sukarelawan Maeps serta Pameran dan Jualan di Laman termasuk ternakan, perikanan, nanas, padi, florikultur dan sayur.

Kini, nadi di kawasan berkenaan sentiasa saja berdenyut kencang dengan suasana kemeriahan Maeps semakin menyerlah berikutan kewujudan Bazaar@maeps, iaitu aktiviti pasar terbuka terbesar di Malaysia berkonsepkan Flea Market dan ‘Carbootsale’, bertempat di pintu masuk 2, Maeps, Serdang, sejak 27 Jun lalu.

Bazaar@maeps, dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Idea dan Usahaniaga Malaysia (Meias) dan Maeps, pada setiap Sabtu, bermula jam 4 petang sehingga 11.30 malam, mampu menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi kerana menghidangkan pelbagai aktiviti daripada penjualan produk makanan, minuman, pakaian, kosmetik, taman hiasan hingga lelongan barangan peribadi dan antik.

Free Image Hosting

Tidak tertakluk kepada aktiviti perniagaan, malah, kegiatan beriadah dan rekreasi membolehkan orang ramai menghabiskan masa hujung minggu meninjau taman herba, pertanian dan haiwan yang disediakan tidak jauh dari tapak Bazaar@maeps.

Bagi mereka suka aktiviti lasak dan mencabar, turut disediakan litar drift dan go-kart yang dibuka kepada orang ramai dengan bayaran tertentu selain boleh bermain layang-layang di kawasan lapang.

Kunjungan ke Bazaar@maeps secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam aktiviti keluarga iaitu pengunjung tidak hanya datang untuk membeli-belah dan pada masa sama dapat menyertai aktiviti riadah bersama keluarga.

Yang Dipertua Meias, Ahmad Safawi Taharim, berkata bazaar@maeps mementing dan mengenengahkan konsep 'semua orang mampu menjual dan membeli'.

Katanya, situasi menang-menang ini juga akan memberi kesan dan impak yang baik kepada pihak pengurusan Maeps sebagai tempat dan tapak penganjuran acara yang mempunyai kemudahan terbaik.

“Bazaar@maeps menyediakan tapak bagi `carbootsale` yang membolehkan pengunjung membeli barangan terpakai, barang antik, barangan elektronik dan barangan unik yang sukar ditemui di kebanyakan tempat.

“Menariknya, peniaga boleh menjual produk mereka hanya di bonet kereta. Bagaimanapun, bergantung kepada kreativiti peniaga untuk mempamerkan barangan itu. Kita sediakan tapak yang luas serta kanopi yang boleh memasukkan kereta.

“Konsep perniagaan itu juga lebih santai. Mereka boleh membawa keluarga atau anak bersama tanpa sebarang masalah kerana ada mempunyai kawasan luas,” katanya.

Beliau berkata, Bazaar@maeps sebenarnya, tidak seperti pasar atau bazar yang diwujudkan atau diuruskan oleh pihak swasta lain yang hanya mementingkan keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi kepada peniaga, sebaliknya hanya mengenakan kos sangat minimum iaitu RM55 sebagai yuran pendaftaran (sekali seumur hidup) dan hanya RM3 untuk setiap minggu sebagai menanggung kos penyelenggaraan air dan elektrik.

Katanya, kos amat rendah itu membolehkan peniaga menjual barangan dengan harga murah kepada pengguna serta menggalakkan Bumiputera menceburi diri dalam bidang perniagaan kecil dengan kos permulaan rendah.

“Jika barang dijual mahal, mungkin akan mengurangkan minat orang ramai untuk membeli. Dengan adanya bazar ini, diharapkan akan memberi kelangsungan untuk peniaga dan pembeli dalam membentuk dan membangunkan minda yang cemerlang dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.

“Ia juga dapat menjadi tempat berhimpun bagi peniaga dan usahawan kecil untuk menjual produk keluaran mereka terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah dan menjadi tempat buat pengguna untuk membeli barangan dengan kadar murah dan memuaskan,” katanya.

Pemilihan tapak perniagaan Maeps juga dilihat strategik dengan dilengkapi kemudahan awam seperti tempat letak kereta luas, tandas awam, pengangkutan dalaman yang canggih dan tempat ini juga mempunyai kawasan riadah menarik seperti kawasan tanaman herba, taman tanaman hijau, kolam ikan, ladang ternakan haiwan dan sebagainya.

Ahmad Safawi berkata, pihaknya juga sentiasa membuka pendaftaran kepada sesiapa saja yang ingin menyertai Bazaar@maeps ini kerana menyediakan 700 tapak perniagaan secara keseluruhan.

Beliau menjangkakan kawasan ini akan dipenuhi dengan pengunjung dengan penganjuran Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia (MICCOS) 2009 yang akan diadakan mulai esok sehingga 16 Ogos ini untuk mempamerkan pelbagai komoditi utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Apa pun juga, Ahmad Safawi mengharapkan aktiviti Bazarr@maeps itu akan menjadi antara destinasi terkemuka di negara ini sebaik saja dimasukkan dalam kalendar Pelancongan, Pelancongan Malaysia, tidak lama lagi.


Free Image Hosting

“Ketika ini, penganjurannya masih baru. Tetapi saya percaya ia mampu menjadi lokasi aktiviti perniagaan yang popular, pada masa depan seperti di United Kingdom (UK).

“Kita juga berusaha untuk menambahkan lagi aktiviti lain termasuk wayang pacak di kawasan berhampiran bazar dan sekali gus menghidupkan semula nostalgia pernah dilakukan oleh orang zaman dulu ketika tiada bekalan elektrik.

“Selain itu, antara dalam perancangan ialah mewujudkan zon perdagangan antarabangsa yang menjual pelbagai produk tulen yang dikeluarkan syarikat dari luar negara,” katanya.

Monday, July 20, 2009

bazaar@maeps Dalam Utusan Malaysia 18 Julai 2009



FLEA MARKET & CARBOOTSALES TERBESAR


SERDANG 17 Julai - Berpegang kepada konsep 'semua orang boleh menjual dan membeli', Bazaar@Maeps adalah tapak terbaik buat semua orang yang ingin memulakan perniagaan.
Ini terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan tumpuan diberikan kepada golongan bumiputera yang ingin menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara mudah.
Bazaar@Maeps adalah usaha niaga berkonsep pasar malam dan car boot sale atau pasar terbuka terbesar di negara ini yang dijalankan di pintu masuk 2, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini.


Dianjurkan oleh Persatuan Idea dan Usahaniaga Malaysia (MEIAS) dengan kerjasama Maeps Management Sdn. Bhd, ia diadakan setiap hari Sabtu bermula pukul 3 petang hingga 10 malam.
Difahamkan 70 peratus peniaga adalah pekerja swasta dan kerajaan yang menjadikan perniagaan sebagai aktiviti sampingan selepas bekerja, secara tidak langsung menjadikan Bazar@Maeps adalah peluang dan tempat perniagaan, khusus kepada warga yang bekerja.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak berkenaan baru-baru ini mendapati terdapat kira-kira 300 gerai yang menjual pelbagai barangan seperti makanan dan minuman, aksesori, kosmetik, pakaian, haiwan dan pelbagai barangan am.


Di samping itu, ia turut menyediakan tapak bagi car boot sale yang membolehkan pengunjung membeli barangan terpakai, barangan antik, barangan elektronik dan barangan unik yang sukar ditemui di kebanyakan tempat.
Yang Dipertua, MEIAS, Ahmad Safawi Taharim berkata, Bazaar@Maeps tidak seperti pasar atau bazar yang diwujudkan atau diuruskan oleh pihak swasta lain yang hanya mementingkan keuntungan bagi pihak penganjur dengan mengenakan bayaran tinggi kepada peniaga sekali gus menyebabkan kenaikan harga barang dengan alasan terpaksa menanggung kos yuran dan sewa yang tinggi.


Katanya, apabila harga barang yang tinggi dikenakan, pastinya pengunjung pasar berkenaan akan berkurangan dan lebih berminat memilih untuk membeli di pasar raya besar dan ini memberi kesan buruk kepada peniaga itu sendiri.


Sehubungan itu, Bazaar@Maeps yang diuruskan oleh MEIAS ini akan mementingkan dan mengenengahkan konsep 'semua orang boleh membeli dan menjual' iaitu peniaga boleh berniaga dan pembeli mampu membeli.

"Situasi menang-menang ini juga akan memberi kesan dan impak yang baik kepada pihak pengurusan Taman Ekspo Pertanian Malaysia sebagai tempat dan tapak penganjuran acara yang mempunyai kemudahan yang terbaik dan apa yang penting Bazaar@Maeps adalah bazar yang mesra pengguna, pengunjung dan peniaga," ujarnya ketika ditemui di tapak berkenaan baru-baru ini.


Menurut Ahmad Safawi, objektif penganjuran bazar ini adalah untuk menggalakkan bumiputera menceburi perniagaan kecil dengan kos permulaan yang rendah.

Dengan adanya bazar seperti ini diharapkan akan memberi peluang kepada peniaga membentuk dan membangunkan minda yang cemerlang dalam dunia perniagaan dan keusahawanan.

Ia juga dapat menjadi tempat berhimpun bagi peniaga dan usahawan kecil untuk menjual produk keluaran mereka terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah dan menjadi tempat buat pengguna untuk membeli barangan dengan kadar murah dan memuaskan.
Tidak hanya menyediakan tapak perniagaan, di Bazaar@Maeps pengunjung boleh memenuhi masa lapang dengan menonton wayang pacak, beriadah di taman pertanian, berkaraoke, menyaksikan perlumbaan kereta, bermain layang-layang serta berpeluang melihat karnival jualan produk perusahaan kecil dan sederhana secara lelongan.

Pemilihan tapak di Maeps dilihat amat strategik memandangkan terdapat pelbagai kemudahan awam seperti tempat letak kereta yang luas, tandas awam, kemudahan pengangkutan dalaman yang canggih dan kawasan riadah.


Dengan berkunjung ke bazar ini juga secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam aktiviti berkeluarga iaitu pengunjung bukan hanya datang untuk membeli-belah tetapi pada masa sama dapat melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.
.

Friday, June 26, 2009

Pelancaran bazaar@maeps (Flea Market & CarBootSales) Di Tapak MAHA Serdang

Image Hosting by Picoodle.com

Persatuan Idea & Usahaniaga Malaysia (MEIAS) dengan kerjasama Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) akan menganjurkan bazaar@maeps yang berkonsepkan 'Flea Market & CarBootSales' terbesar di tapak MAHA Serdang.

Lokasi : Tapak MAHA, Serdang
Hari : Setiap Sabtu
Masa : 3.00 petang - 10.00 malam

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan karnival yang julung kali diadakan bagi memenuhi kalendar acara di MAEPS itu.

Penyertaan dari lebih 200 peniaga baru akan memeriahkan lagi acara ini.

Pihak MAEPS juga akan menganjurkan acara 'Drift Challenge' dan Pertandingan Memancing pada 27 Jun 2009.

Semoga karnival ini akan memeriahkan lagi tapak MAHA yang sebelum ini hanya aktif sewaktu MAHA sahaja.