Produk tradisional cerahkan kulit secara semula jadi, perlahankan penuaan
KOSMETIK adalah keutamaan wanita dalam apa jua keadaan kerana ia adalah bahan bantu yang dikatakan berupaya menghaluskan kulit wajah, membekalkan kelembapan dan mengurangkan kedutan selain menyumbang kepada keremajaan kulit walaupun usia sudah meningkat.
Bahkan, kosmetik juga menutup kesan jerawat mahupun cela lain yang ada pada wajah selain olesan kosmetik pada wajah, bagi sesetengah individu, berupaya menambahkan tahap keyakinan diri ketika berurusan dengan masyarakat mahupun melakukan urusan lain.
Sehubungan itu, kosmetik adalah rakan akrab yang akan sentiasa dicari wanita kerana ia membantu menyempurnakan tatarias selain kandungan kosmetik tidak terlepas daripada pemerhatian kerana bahan yang digunakan mungkin membawa kebaikan atau sebaliknya pada wajah.
Gaya terkini memperlihatkan sikap berhati-hati wanita juga mempengaruhi diri untuk menggunakan bahan yang diyakini, tidak mendatangkan mudarat dan bersifat semula jadi kerana bahan semula jadi membawa banyak kebaikan kepada kulit, namun bagaimana jika anda disarankan menggunakan produk yang diperbuat daripada tempe?
Sanggupkah anda menggunakan produk sebegitu yang memanfaatkan khasiat tempe yang sememangnya diketahui memberikan pelbagai kebaikan jika diambil sebagai makanan?
Kini, tempe bukan hanya digunakan sebagai makanan, bahkan kajian oleh Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM) berjaya menghasilkan produk penjagaan kecantikan kulit yang memanfaatkan keunikan bahan berkenaan.
Malah, SIRIM turut berjaya menghasilkan produk penjagaan kecantikan berasakan budu yang mungkin menyebabkan ramai berfikir dua kali untuk menggunakannya terutama apabila memikirkan bau yang sering dikaitkan dengan hidangan kegemaran masyarakat Kelantan itu.
Jika beberapa jenama terkenal antarabangsa gah dengan pelbagai kajian yang dijalankan bagi menghasilkan produk penjagaan kecantikan, Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Bezanya, Malaysia menerusi SIRIM menjalankan pelbagai kajian terhadap keberkesanan beberapa bahan sebelum menjadi pilihan pengusaha atau syarikat tertentu yang tertarik dengan produk dihasilkan.
Penasihat Kanan, Program Produk Semula Jadi dan Biokosmetik Pusat Penyelidik Bioteknologi Industri SIRIM, Rozanida Tan Sri Abdul Rahman, berkata kesedaran pengguna yang tinggi sejak kebelakangan ini memperlihatkan bahan semula jadi mendapat tempat dalam industri pembuatan kosmetik.
“Kami di Sirim sudah memulakan siri kaji selidik terhadap banyak bahan semula jadi yang berupaya memberi kebaikan kepada kulit manusia sejak 10 tahun lalu.
“Antara yang diketahui mempunyai bahan yang baik untuk kesejahteraan kulit wajah manusia adalah tempe dan hidupan marin, ikan bilis yang diperap menjadi budu. Bilis yang diperam menjadi budu mempunyai bahan tertentu yang berfungsi baik terhadap kulit wajah,” katanya ketika ditemui di Pusat Penyelidik Bioteknologi Industri Sirim, Shah Alam, baru-baru ini.
Turut hadir, Penyelidik Kanan Pusat Penyelidik Bioteknologi Industri SIRIM, Noorullhamezon Mohd Nor dan Penyelidik Kanan Pusat Teknologi Bioproses dan Alam Sekitar SIRIM, Hamidah Sidek.
Noorullhamezon melakukan kajian terhadap tempe dan Hamidah membuat penelitian terhadap budu sehingga terhasilnya kosmetik yang dikatakan bermanfaat untuk merawat kulit wajah dengan cara semula jadi tanpa adanya bahan kimia berbahaya.
Rozanida yang juga bertanggungjawab merumus formula kedua-dua bahan tradisional berkenaan berkata, SIRIM bertindak melakukan kajian terhadap bahan terpilih itu untuk membantu usahawan bidang kecantikan menggunakan bahan tempatan kerana hasil daripada produk tempatan juga tidak kurang hebat.
“Selain menyediakan bahan dan perkhidmatan pembungkusan, pengusaha tidak perlu melakukan kajian lain lagi kerana kami sudah melakukan kajian dan menyiapkan rumusannya.
“Sebelum mengkomersilkan produk ini juga, kami sudah menjalankan ujian terhadap sekumpulan individu yang menjalani ujian penggunaan bahan ini bagi mengesahkan mutu produk dan selamat digunakan. Selepas mendapati hasilnya memuaskan, barulah kami ingin menawarkan kepada usahawan memperkenalkan produk ini kepada pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, Rozanida meminta mana-mana usahawan yang berminat memasarkan produk daripada bahan tradisional itu, mereka bolehlah menghubungi SIRIM untuk urusan selanjutnya.
Sementara itu, kegemaran masyarakat Asia terhadap kulit wajah yang cerah dan putih memberi ilham kepada Noorulhamezon memilih tempe untuk diekstrak menjadi produk kosmetik.
“Tempe adalah bahan semula jadi daripada kacang soya yang boleh mencerahkan kulit dengan cara yang selamat. Ia tidak mengandungi bahan peluntur dan produk pemutih yang menghakis kulit.
“Saya melakukan kajian terhadap sel kolagen yang dirawat dengan tempe yang sudah diekstrak dan hasilnya menjadikan kulit wajah lebih cerah tanpa meninggalkan kesan bahaya. Modul ujian yang dilakukan adalah membandingkan antara sukarela yang menggunakan produk daripada tempe dan sebaliknya,” katanya.
Produk berasaskan tempe itu bukan bertindak memutihkan kulit secara total, tetapi dalam istilah penggunaan kosmetik, produk berkenaan mencerahkan kulit di samping tidak mematikan sel kulit.
Katanya, terdapat empat produk yang sudah dihasilkan daripada tempe iaitu facial cream cleanser, purifying tuning mist, moisturising day cream dan reforming night cream.