Pages

Showing posts with label tradisi. Show all posts
Showing posts with label tradisi. Show all posts

Tuesday, December 28, 2010

Usahawan Koleh Kacang Dari Kelantan


KHADIJAH IBRAHIM cukup gemar menikmati kuih koleh kacang, hinggakan beliau begitu cerewet setiap kali merasai koleh kacang yang dijual atau dihidangkan kepadanya.
Berusia 62 tahun, sudah puas Khadijah merantau jauh dari kampung asalnya, Kampung Paya Teratai di Bachok.
Jadi wanita itu sudah banyak mencuba koleh kacang, tetapi selalunya dia merasakan koleh kacang yang dijual tidak sesedap hasil buatan sendiri.
Kerana itu, beliau sering membuat koleh kacang untuk dirinya, keluarga, jiran dan rakan-rakan.
"Tak sangka pula jiran dan kawan-kawan sukakan kuih itu biarpun ada yang tidak pernah merasainya sebelum ini. Dari situ mereka kemudian mula meminta saya membuat kuih itu untuk majlis kecil mereka, kemudian untuk juadah hari raya, bahkan pada hari-hari biasa juga ada yang menempah untuk dinikmati bersama keluarga," katanya.
Gembira melihat keenakan kuih kegemarannya disukai ramai, Khadijah kemudian berniaga koleh kacang secara kecil-kecilan dan mula menerima lebih banyak tempahan.
Tanpa menunggu waktu kelapangan atau cuti hujung minggu, Khadijah yang ketika itu menjadi pengurus sebuah syarikat komputer di Kuala Lumpur, mencari masa sendiri memenuhi permintaan rakan dan jiran yang menempah kuih berkenaan.
"Ketika itu masa dirasakan begitu berharga, selain melakukan pekerjaan tetap, saya seperti tidak menang tangan menerima tempahan daripada rakan rapat sehinggalah pelanggan yang tidak dikenali serata Kuala Lumpur," ungkapnya.
Sungguhpun hampir 50 tahun menetap jauh dari negeri kelahiran Kelantan kerana menyambung pengajian dan mencari kehidupan sendiri, Khadijah tidak pernah lupa pulang menjenguk kampung.
Asalkan memiliki waktu terluang beliau pasti pulang ke kampung biarpun sudah ketiadaan kedua ibu bapanya selain adik-beradiknya seramai tiga orang juga menetap di luar Kelantan.
Katanya setiap kali pulang ke kampungnya beliau merasakan ada sesuatu yang kurang di kampungnya. Tiada sebarang perubahan dalam rutin harian, iaitu penduduk lelaki melakukan kerja kampung dan kaum wanitanya duduk bersantai selepas menghabiskan kerja rumah.
"Setiap kali pulang ke kampung, saya melihat penduduk kampung ada banyak masa, suri rumah selepas melakukan tugas harian waktu petangnya akan duduk di bangku kayu berborak sesama jiran.
"Ketika itu saya terfikir jika ada peluang pekerjaan, mereka pasti tidak duduk-duduk sahaja kerana mereka juga perlukan pendapatan tambahan untuk membantu suami menyara keluarga," kata ibu kepada empat anak itu.
Koleh kacang Khadijah
Beliau memikirkan untuk membantu memberi pendapatan sampingan kepada penduduk kampung yang kebanyakannya saudara-mara dan jirannya.
"Untuk mengubah kehidupan keseluruhan penduduk kampung mungkin saya tidak mampu, tetapi jika ada dua atau tiga orang yang dapat saya bantu itu sudah memadai buat permulaan," katanya sambil tersenyum.
Khadijah memulakan langkah baru dengan idea untuk mengembangkan resipi koleh kacangnya di kampung halaman sendiri.
Menurutnya, idea itu dipersetujui saudara-mara dan jiran di kampungnya yang bersedia menyumbang tenaga.
"Sejak itu kuih koleh kacang mula dibuat di Kampung Paya Teratai dengan jiran tetangga dan penduduk kampung sebagai orang kuat di sebalik penghasilannya.
"Untuk tenaga yang mereka sumbangkan, saya hadiahkan mereka wang harian," kata Khadijah yang lebih selesa menggunakan perkataan hadiah daripada upah yang disifatkannya lebih lembut dan mesra.
Koleh kacang yang dihasilkan bukan sahaja dipasarkan di Kelantan, tetapi turut dibawa kepada pelanggan setianya ke Kuala Lumpur.
Khadijah, yang memiliki dua diploma dan satu ijazah dalam bidang pertanian, pembangunan penyelidikan dan pendidikan kaunseling itu, tidak pernah lekang daripada idea untuk memajukan perniagaannya.
Selepas beberapa lama mengusahakan koleh kacang, timbul inisiatif baru untuk menghasilkan sesuatu yang lebih mudah kepada pelanggan, sesuai dengan dunia moden kini yang memerlukan sesuatu yang ringkas dan mudah.
"Saya terfikir kalau sekadar jual kuih payah juga, koleh kacang bukannya dapat disimpan lama, bila terasa hendak makan, baru dibeli. Justeru itu saya merasakan perlu ada sesuatu yang lebih mudah untuk pelanggan simpan dan dibawa ke mana sahaja," katanya.
Dari situ timbul idea menghasilkan tepung koleh kacang untuk pelanggan yang ingin membuat sendiri kuih itu tetapi dengan cara yang mudah dan cepat.
Bengkel koleh kacang
Tepung koleh kacang itu dibungkus dalam peket sederhana kecil dan sudah siap untuk diadun dengan ramuan khas yang hanya memerlukan masa di antara 7 sehingga 8 minit untuk dimasak menjadi kuih.
Menurut Khadijah, dengan bantuan Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (Iada) Kemasin Semerak, sebuah bengkel dibangunkan di kampungnya dan kini aktif beroperasi membuat kuih koleh kacang serta tepung koleh kacang. Produk itu kemudian dipasarkan di Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor dan lain-lain.
Katanya dengan bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan yang membekalkan beberapa mesin, perusahaan beliau semakin berkembang dan lebih ramai penduduk kampung kini bekerja di situ.
Khadijah yang sudah pun meletakkan jawatannya sebagai pengurus syarikat, kini mampu tersenyum bangga kerana hasratnya yang bukan sahaja mahu menjadi usahawan berjaya tetapi membantu penduduk kampungnya mencari pendapatan sampingan telah terlaksana.
Khadijah kini turut memiliki pusat pengumpulan dan pemasaran untuk menyimpan stok tepung koleh kacang di Danau Kota, Kuala Lumpur.
Beliau kini merancang menghasilkan beberapa tepung khas lain untuk membuat pelbagai jenis kuih tradisional bagi memastikan kuih berkenaan tidak lapuk ditelan zaman.
"Hasrat saya hendak tambah beberapa jenis tepung membuat kuih lagi yang lebih ringkas dan mudah, antaranya apam dan kuih bakar," katanya. - Bernama

p/s : Sofaz Freshmart ada jual tepung kek oren & coklat... gerenti jadi punya...hehe

Tuesday, November 23, 2010

Chenderong Balai : Pusat Produk Makanan



RUPANYA molek bak sebiji cawan. Warnanya yang putih suci dan bertekstur gebu memikat hati untuk dijamah. Kuih yang diberi nama Putu Perak itu rasanya lemak-lemak manis.
Itulah reaksi deria rasa apabila putu tersebut memasuki rongga mulut. Emosi yang sama dirasai oleh Fauzila Harun, 35, tatkala menikmati kuih tradisional Perak itu pada suatu petang kira-kira lima tahun lalu.
"Putu Perak adalah antara kuih yang ibu dan opah saya gemar sediakan untuk kami sekeluarga semasa saya kecil dulu. Namun, setelah zaman berubah, putu itu jarang dibuat dan semakin sukar ditemui," jelas wanita yang lebih mesra dipanggil Zie itu kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kenangan pada petang itu ternyata telah memberi ilham bisnes kepadanya. Kini, Zie ialah seorang pengusaha kek dan pastri serta beberapa kuih tradisional Melayu seperti baulu, kuih karas, baulu Kemboja dan rempeyek.
Tidak ketinggalan, Zie nekad menjadikan Putu Perak yang sebelum ini sekadar sajian sarapan pagi dan minum petang di kampung halamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak sebagai antara produk utama perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry.
Mengapakah Putu Perak? Selain kurang persaingan, wanita itu yakin Putu Perak mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan. Bagi Zie, pembuatan kuih tradisional itu mempunyai falsafah yang tersendiri.
Baginya, kuih warisan itu adalah satu-satunya kuih yang kuat beridentitikan Perak berdasarkan tiga ramuan asasnya iaitu beras, pulut dan kelapa. Ketiga-tiganya pernah menjadi hasil pertanian utama dan makanan ruji penduduk negeri itu pada zaman dahulu.
"Walaupun ada yang memanggilnya putu cawan dan putu mangkuk, nama Putu Perak lebih tepat dan menyerlah serta mempunyai nilai komersial untuk membawanya di pasaran nasional," ujarnya.
Bermula dengan meletakkan Putu Perak yang dibuatnya di gerai-gerai makan dan kedai runcit di sekitar Chendorang Balai, Sungai Manik dan Labu Kubong pada setiap pagi, kuih warisan itu laris dan permintaannya begitu baik.
Kesungguhan Zie menjual kuih tradisional tersebut mula mendatangkan hasil dan berjaya membuka mata sebuah agensi kerajaan setahun kemudian.
Pada tahun 2006, rumah Zie dikunjungi oleh beberapa pegawai Pejabat Pertanian Sungai Manik yang diketuai Penolong Pegawai agensi itu, Mohamad Din Hussin, untuk melihat sendiri kesungguhan wanita itu menghasilkan Putu Perak.
"Kebetulan pada masa itu, kami bercadang membuka pusat sehenti menghasil dan memasar produk kecil dan sederhana (PKS) yang akan ditempatkan di Pejabat Pertanian Sungai Manik.
"Kami memerlukan seorang usahawan yang berpotensi untuk dibantu," jelas Mohamad Din.
Pusat sehenti itu ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewaan dan pengusaha terpilih sekadar melunaskan bil elektrik dan air bulanan.
Selain itu, bimbingan dan bantuan sokongan daripada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga ditawarkan.
Mohd. Din memberitahu, seramai 32 usahawan produk PKS di sekitar Sungai Manik, Chenderong Balai dan Labu Kubong telah disenarai pendek dan akhirnya Zie menerusi perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry, telah terpilih.
Tertarik dengan kegigihan dan wawasan masa depan perniagaan terutama kesungguhan mengkomersialkan kuih warisan negeri, Putu Perak, adalah antara sebab utama pemilihan Zie.
Peluang yang diberikan Pejabat Pertanian Sungai Manik itu bagaikan batu loncatan kepada Zie. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.
Peralatan memasak Putu Perak juga diperbaiki. Jika sebelum ini Zie dan pekerja mengukus kuih warisan itu di dalam tin yang telah ditebuk lubang kini peralatan khas diperbuat daripada besi digunakan.
Sambutan menggalakkan
Zie juga telah ditawarkan buat kali pertama untuk memperkenalkan Putu Perak buatannya di acara Agrofest peringkat negeri di Ladang Infoternak Sungai Siput bermula 2007.
"Sambutannya amat menggalakkan. Kejayaan di Agrofest Perak 2007 membuatkan saya terus menyertai banyak ekspo dan karnival usahawan anjuran pelbagai agensi kerajaan di sekitar Perak dan negeri-negeri jiran seperti Kedah untuk mempromosi Putu Perak," ujarnya.
Zie juga pernah membuka gerai jualan Putu Perak di Karnival Sua Rasa anjuran televisyen swasta, TV9 di pekarangan Stadium Perak pada bulan April lalu.
Usaha wanita itu semakin mendapat pengiktirafan apabila Putu Perak buatannya disenaraikan sebagai salah satu Makanan Popular Perak oleh FAMA negeri.
Lebih membanggakan, kuih warisan itu berjaya menembusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) pada 2008 dan 2010.
Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.
Pembukaan gerai jualan itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan kuih warisan itu. Keunikannya menarik minat ramai pengunjung R&R tersebut untuk membeli dan mencuba keenakan Putu Perak.
Bagi yang pernah merasai Putu Perak sebelum ini, penjualan kuih warisan itu di kawasan milik Plus Expressways Berhad (PLUS) itu mampu mengimbau kenangan silam.
Bagi mereka yang tidak pernah menikmatinya, tentunya ia menjadi satu pengalaman baru apabila berpeluang menikmati makanan tradisional tempatan yang hampir pupus.
Menyentuh hati
Pengalaman melayan ragam pelanggan meninggalkan pelbagai kenangan buat Zie. Begitu juga dengan kisah seorang pelanggan wanita berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Ramadan lalu.
Zie memberitahu, sepanjang bulan Ramadan itu, gerai jualan Putu Perak di R&R Ulu Bernam arah selatan ditutup bagi memberi ruang kepada dia dan pekerjanya menyiapkan tempahan kuih dan kek raya di Chenderong Balai.
Satu hari dalam bulan yang mulia itu, Zie dihubungi oleh seorang wanita yang begitu teringin merasai Putu Perak.
Wanita yang mendapat nombor telefon bimbit Zie daripada pengurusan PLUS dan FAMA Perak itu merayunya agar membuka gerai jualan di R&R tersebut.
Menurutnya, dia berasal dari daerah Hilir Perak tetapi telah menetap lama di Seremban, Negeri Sembilan dan sanggup memandu kereta dari jauh semata-mata mahu menjamah Putu Perak sebagai salah satu sajian berbuka puasanya.
Mendengar rayuan wanita terbabit, Zie tidak sampai hati lantas menyiapkan kuih warisan yang dipesan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan tersebut di kawasan R&R terbabit.
"Saya akhirnya dapat menyerahkan Putu Perak yang dipesan wanita itu ketika hampir waktu berbuka puasa. Daripada riak mukanya, jelas dia gembira kerana dapat menikmati putu tersebut.
"Terharu saya sekejap. Momen itu menjadi antara pengalaman indah sepanjang saya berniaga Putu Perak. Semangat saya semakin kuat untuk membawa kuih warisan negeri kelahiran saya ini di peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Sumber : Kosmo 23 Nov 2010

Friday, December 4, 2009

Bila Artis Pun Berniaga Produk Tradisional

Salam semua pembaca,

Terpanggil kali ni nak menulis pasal bisnes produk makanan tradisi. Memang rasa bangga juga bila masih ramai orang yang prihatin dan mengambil tahu perihal produk-produk tradisi terutamanya makanan. Itu sebab bila orang tanya mengapa memilih produk tradisi seperti tempe, tapai dan acar untuk dijadikan 'killer produk', saya cuma jawab "nak kekalkan tradisi untuk anak cucu".


Coretan kali ini sebenarnya lebih kepada para artis yang kini aktif berniaga. Memang bangga juga apabila 2-3 orang artis tanahair berkecimpung secara serius dalam bisnes yang orang boleh kata remeh dan takde standard langsung.

Melihat kepada Ezani yang memasarkan produk belacan dari Perlis dan sekarang ni beliau betul-betul cari makan dengan bisnes ini. Macam tak percaya je masa mula-mula dia perkenalkan produk keluaran syarikatnya. Sekarang ni, kalau nak cari produk beliau, cari la kat Tesco, Mydin & Giant.


Kemudian timbul pula pelakon Zul Yahya, hero drama "Pepaya" buat bisnes ikan pekasam. Hmm.... nampak janggal kan, tapi kerana kesungguhan dan semangat berniaga buat muka tebal je la kot. Janji bisnes boleh jalan dan buat duit. Tapi tak tau la setakat mana hasilnya sebab kurangnya berita pasal kehidupan peribadi beliau.


Yang terbaru, Que Haidar buat bisnes ikan masin. Betul ke ?? Hah.. terkejut juga macam tak percaya. Maklum la, depa ni semua dah la hensem, berduit pulak tu.

Selalu juga kita terbaca yang para artis ni berniaga pasar ramadhan. Antaranya Black Mentor dan Rosnah Mat aris. Dan ramai juga yang buka restoran seperti Amy Search dan Linda Onn.


Mungkinkah populariti menjadi salah satu aset perniagaan? Mungkin juga kerana mereka ni dapat 'coverage' percuma dalam ruangan hiburan samada di majalah atau akhbar. Promosi 'free' sebegini memang susah kalau usahawan macam kita nak dapat melainkan kena melabur duit buat iklan le.

Macamanapun, bagus juga sebilangan artis ni buat bisnes produk tradisi supaya ianya terus dipromosikan oleh media. Sekurang-kurangnya, anak cucu kita 'aware' akan keujudan makan tradisi selain 'fast food' yang hampir saban hari mereka hadap.

Apa akan jadi 10 atau 20 tahun akan datang. Ujud lagi ke produk-produk tradisi ni? Sendiri mau ingat la....